AKTIVITI TERKINI


Lokasi Pelawat GAMB

Melaka Darul Azim

Melaka Darul Azim

Friday, January 20, 2012

KONSEP PATRIOTISME DAN NASIONALISME


NASIONALISME merupakan sentimen dalam kalangan penghuni sesuatu wilayah tertentu. Perasaan ini dapat dilihat apabila rakyat sesuatu wilayah itu menggunakan lambang-lambang tertentu seperti sempadan dan ibu kota bagi menentukan taraf negara bangsa, keperibadian kebangsaan, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, ekonomi, kebudayaan dan kesenian, bendera, lagu kebangsaan dan lain-lain.

SECARA nyata, nasionalisme ialah gerakan kesedaran yang menumpukan perhatian bagi menentukan nasib sendiri, bangsa, dan negara untuk mencapai kebebasan dan kesejahteraan serta memupuk keperibadian sejati. Ini berpunca daripada tekanan dan pengaruh asing atau penjajah sehingga anak negeri merasa lemah dan tertinggal dalam lapangan ekonomi, sosial, politik, dan kebudayaan.

PADA awal abad ke-20, nasionalisme menjadi persoalan yang menonjol di Asia Tenggara. Pendidikan Barat telah memberi makna baru kepada hak asasi manusia, persamaan, kebebasan, dan kemerdekaan.

DI Tanah Melayu, orang Melayu memainkan peranan penting dalam memperjuangkan nasib bangsanya pada zaman penjajahan Inggeris. Pengertian “kebangsaan” dihayati oleh orang-orang Melayu kerana ia dikaitkan dengan perjuangan menegakkan maruah bangsa dan negara dalam menentang penjajah.

PATRIOTISME pula merupakan perasaan kesetiaan kepada negara dan ia menjadi unsur penting nasionalisme. Perasaan patriotik ini lebih tertumpu kepada taat setia terhadap Raja dan pemimpin negara. Pengkaji sejarah melihat semangat patriotisme di Malaysia bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan menyemarak pada abad 17 hingga 20.

SEBAGAI sebuah negeri, Melaka mempunyai sistem politik yang kukuh sejak awal abad ke-15. Pemerintahan secara piramid telah meletakkan Raja sebagai ketua negara dan politik serta dibantu oleh Bendahara, Laksamana, Temenggung dan Syah Bandar. Melaka pula mempunyai rakyat yang setia kepada Raja sebagai pemerintah dan raja yang berdaulat.

CIRI-CIRI patriotisme iaitu semangat taat setia kepada Raja dan pemerintah telah diamalkan oleh rakyat Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka bagi mewujudkan kedaulatan, kekuatan, kestabilan, dan peluasan empayar kerajaan. Rakyat Melaka sanggup berkorban demi mempertahankan negeri Melaka daripada diserang musuh dan bagaimana mereka patuh kepada perintah raja.

UNTUK melihat peranan dan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu menentang musuh dan sifat kesetiaan kepada Sultan, artikel bertajuk “ Wira Melayu Dalam Konteks Patriotisme Zaman Kesultanan Melaka” dibentangkan. Konsep wira Melayu ini menjadi asas kepada semangat patriotisme di kalangan pahlawan Melayu yang setia terhadap pemimpinnya. Ini dapat dilihat juga dalam artikel “Kerja Sama Serantau Mengusir Penjajah Di Persekitaran Selat Melaka”.

PENGALAMAN rakyat Melaka mempertahankan Melaka daripada serangan Portugis dan menentang Inggeris dalam Perang Naning (1930)  ialah contoh cetusan semangat patriotisme rakyat Melaka mempertahankan kedaulatan Raja dan pemerintah Melayu di tanah airnya.

SEMANGAT ini diteruskan dengan lebih meluas di negeri-negeri lain apabila negeri-negeri Melayu yang lain wujud pada abad ke-18 seperti Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris dalam abad 18 dan 19 turut menyemarakkan semangat patriotisme orang Melayu di negeri-negeri Melayu dalam peperangan menentang Inggeris seperti Perang Perak 1874, Perang Pahang 1895, dan lain-lain.

SEHUBUNGAN ini, pahlawan Melaka telah menjadi juara menentang penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Walaupun gagal menghapuskan kekuasaan penjajah di alam Melayu, rakyat Melaka dan rakyat di rantau ini tetap berjuang mempertahankan kedaulatan tanah airnya. Oleh itu, artikel bertajuk “Gerakan Penentangan Terhadap Kuasa Barat Di Melaka” dibentangkan untuk melihat peranan dan semangat patriotisme orang Melayu Melaka dan bagaimana ia menjadi teladan kepada negeri-negeri Melayu lain menentang penjajah.

ABDULLAH Munshi dan Ibrahim Munshi merupakan tokoh pengkritik masyarakat pada abad ke-19 juga turut memainkan peranan penting mengkritik masyarakat Melayu dengan harapan agar mereka berubah sikap demi mencapai kemajuan orang Melayu. Idea pemikiran kedua-dua tokoh ini dapat dilihat artikel yang bertajuk “Pemikiran Abdullah Munshi dan Ibrahim Munshi Tentang Orang Melayu”.

PELUASAN kuasa Inggeris di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 telah mengggabungkan penyemarakan semangat patriotisme orang Melayu (di negeri-negeri bekas jajahan empayar Melaka) di bawah satu kekuatan baru yang dikenali sebagai semangat kebangsaan atau nasionalisme yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu secara menyeluruh. Pada peringkat awal gerakan kebangsaan orang Melayu ini dicetuskan dalam majalah dan akhbar Melayu. Majalah Al-Imam (1906) telah mempelopori gerakan orang Melayu dengan menyiarkan rencana yang membela nasib orang Melayu secara menyeluruh.

BIDANG penulisan terutama akhbar, majalah, dan buku memainkan peranan penting untuk menyemarakkan api kebangsaan di kalangan orang Melayu. Bidang kewartawanan menunjangi golongan agama dengan mempelopori gerakan kebangsaan di Malaysia dan memainkan peranan penting memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Sehubungan ini, artikel “Peranan Penulisan Dalam Gerakan Kebangsaan Di Malaysia” dibentangkan sebagai panduan. Semua pihak yang memperjuangkan kemerdekaan dan kepentingan orang Melayu telah mengggunakan bidang penulisan sebagai senjata utama.

PENGARUH Islam turut memainkan peranan penting dalam gerakan kebangsaan di Malaysia. Rencana-rencana di akhbar dan majalah Melayu seperti Al-Imam, Tunas, Pengasoh, Al-Hikmah, Saudara, Warta Malaya, Utusan Melayu turut menyiarkan rencana yang berkaitan dengan islam yang berhubungkan dengan pembangunan dan kemajuan orang Melayu.

SYED Sheikh Ahmad Al-Hadi, reformis daripada golongan Kaum Muda yang berasal dari Melaka turut memainkan peranan penting dalam gerakan Islah Islamiah melalui al-imam, madrasah, penerbitan buku, ceramah dan lain-lain. Oleh itu artikel yang bertajuk “Gerakan Islah Islamiah : Kajian Terhadap Tiga Tokoh Pelopornya” disediakan bagi memaparkan peri pentingnya peranan dan pengaruh Islam dalam gerakan kebangsaan di Malaysia.

PENGARUH luar terutamanya Timur Tengah, Indonesia, Filipina, India dan China turut memainkan peranan penting mencambahkan gerakan kebangsaan Malaysia. Pengaruh ini turut menyemarakkan semangat rakyat, untuk bersatu dan mengkritik penjajahan melalui akhbar, majalah dan persatuan-persatuan. Pengalaman negara ini yang pernah dijajah dan memperoleh kemerdekaan turut mempengaruhi gerakan kebangsaan Malaysia untuk berjuang mencapai kemerdekaan. Sehubungan ini, artikel bertajuk “Pengaruh Indonesia Dalam Aliran Kiri Gerakan Melayu” disediakan bagi memaparkan peri pentingnya pengaruh luar terutama dari Timur Tengah dan Indonesia dalam usaha menentang penjajah.

KESEDARAN rakyat Malaysia menubuhkan persatuan-persatuan berunsur politik turut menyemarakkan api kemerdekaan tanah air menentang penjajah. Penubuhan Kesatuan Melayu Singapura pada tahun 1926 dan diikuti penubuhan cawangannya di Pulau Pinang dan Melaka pada tahun 1937 turut memberi kesedaran untuk menubuhkan persatuan-persatuan di negeri-negeri lain seperti Persatuan Melayu Perak, Selangor, Pahang, Kelantan, Kesatuan Melayu Muda, UMNO, PKMM dan lain-lain. Sehubungan itu, artikel bertajuk “Gerakan Pertubuhan Kebangsaan Dalam Memperjuangkan Kemerdekaan”, turut dibentangkan.

SETELAH mencapai kemerdekaan, Malaysia yang berdiri sebagai sebuah negara yang bebas, mempunyai perlembagaan dan bendera lalu wujud sebuah negara bangsa Malaysia yang kukuh. Dalam konteks ini, artikel berjudul “Gerakan Kebangsaan Dan Proses Pembentukan Negara : Bangsa Malaysia” dibentangkan untuk melihat sebuah negara merdeka yang bersatu padu. Bagi meneliti kedudukan Malaysia sebagai negara yang kukuh dan stabil diperingkat antarabangsa, artikel bertajuk “Ketahanan Bangsa dan Kelangsungan Negara : Malaysia Dalam Era Globalisasi” dibentangkan juga.

UNTUK memerdekakan negara dan rakyat seluruhnya dari belenggu penjajah Inggeris, lahirlah tokoh-tokoh Melayu yang begitu lantang meniupkan semangat nasionalisme untuk menyedarkan orang Melayu akan hak mereka yang telah dirampas dan betapa mereka perlu menebus maruah dan negara yang telah tergadai. Meskipun ketiga-tiga tokoh ini, Dato’ Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam mempunyai pendekatan yang berbeza dalam menangani masalah orang Melayu khususnya dan negara amnya dalam usaha untuk memerdekakan negara namun visi mereka hanya satu, untuk mengembalikan yang hak dan menebus maruah orang Melayu yang tergadai di tangan orang Inggeris. Ikutilah semangat juang yang ketal oleh ketiga-tiga tokoh ini di dalam “Kepimpinan Melayu 1945-1947”.

No comments:

Post a Comment

BLOG TERPILIH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...