AKTIVITI TERKINI


Lokasi Pelawat GAMB

Melaka Darul Azim

Melaka Darul Azim

Saturday, April 23, 2011

MOHON SUMBANGAN IKHLAS RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN



Remaja berusia 15 Tahun ini Mohamad Aidil Aizil bin Mohamad Sazlee berasal dari Kampung Batu 10, Labu Hilir, Negeri Sembilan mengidap penyakit Ketumbuhan Dalam Otak (Brain Tumor ) yang menyebabkan dia ini hampir buta dan lemah seluruh badan. Beliau baru saja menjalani pembedahan yg cuma mengurangkan kesengsaraanya. Menurut Doktor, remaja itu perlu menjalani beberapa lagi siri pembedahan yg 'mungkin' menyelamatkan nyawanya. Ibubapa dia hanya berkerja sebagai pembantu gerai yang bergaji hari. Sekiranya sahabat yang bermurah hati untuk menghulurkan bantuan bolehlah hubungi ibu remaja ini. Puan Faridah 017-3852610 atau melawat Wad Neuro HKL (Wad 6B)

Mencela dan Memusuhi Pemerintah Adalah Mazhab Khawarij!

 
Mengusik kehormatan dan kredibiliti pemerintah dengan cara memaki-hamun, mencela, menyebarkan aibnya, dan mengkritik mereka secara terbuka adalah satu bentuk kesalahan yang amat besar di sisi Islam. Bahkan ia termasuk benih-benih pemberontakkan terhadap pemerintah yang menjadi sebab rosaknya agama, tergugatnya keamanan, dan menghilangnya kemaslahatan dunia sekaligus.

Perbuatan mengecam dan memburuk-burukkan pemerintah adalah satu bentuk bid’ah yang sengaja diada-adakan dalam perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar. Ia mula dicipta oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Khalifah ‘Utsman B. Affan radhiyallahu ‘anhu. Disebabkan fitnah yang direka dan disebarkan oleh ‘Abdullah B. Saba’ inilah akhirnya sejarah Islam menjadi kacau-bilau sehingga terbunuhnya ‘Utsman dan ‘Ali. Ideologi yang beliau cetuskan tersebut kemudiannya makin tersebar hingga meracuni dan memperdaya sebahagian kelompok umat Islam setelah itu yang mengakibatkan munculnya firqah-firqah sesat seperti Khawarij dan syi’ah, yang kemudiannya dari Khawarij lahirnya Murji’ah, Qadariyah, dan Muktazilah.

Lebih awal dari itu, pemikiran mencela pemimpin secara terbuka ini juga telah wujud sejak hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi. Bahkan celaan tersebut diungkapkan terus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tanpa segan-silu di hadapan umum. Orang yang mencela Rasulullah tersebut dikenali sebagai Dzul Khuwaishirah sebagaimana kata Imam Ibnul Jauzi. Beliau menuntut Rasulullah supaya berlaku adil dan bertaqwa kepada Allah kerana pada anggapannya Rasulullah telah berlaku khianat dalam suatu proses pembahagian harta ghanimah ketika itu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu pun marah dengan celaannya lalu mengatakan:


وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ


“Celakalah engkau, siapa lagi yang dapat berlaku adil jika aku dikatakan tidak adil? Benar-benar celaka dan rugi jika aku tidak dapat berlaku adil.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/442, no. 3341)


Kemudian orang tersebut pun berlalu pergi.

Dalam riwayat yang lain setelah orang ini pergi, Rasulullah pun bersabda (kepada para sahabatnya yang hadir ketika itu):


إِنَّ مِنْ ضِئْضِئِ هَذَا قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنْ الرَّمِيَّةِ يَقْتُلُونَ أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَيَدَعُونَ أَهْلَ الْأَوْثَانِ لَئِنْ أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عَادٍ


“Sesungguhnya daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca al-Qur’an tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkongan. Mereka terlepas dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya (buruannya). Mereka membunuh ahlul Islam dan membiarkan hidup ahlul Autsan (penyembah berhala). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/441, no. 6880)

Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) menyatakan dalam kitabnya Talbis Iblis di bab perbahasan Khawarij yang mana kata beliau - Dzul Khuwaishirah adalah tokoh khawarij yang pertama sekali muncul dalam sejarah Islam. Ia menganggap dirinya dalam kebenaran berdasarkan sangkaannya semata-mata. Dia tidak memahami bahawa pendapat Rasulullah-lah yang perlu diutamakan dan didahulukan berbanding segala pandangan yang lain. Kemudian daripada Dzul Khuwaishirah ini lahir pula kelompok yang memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. (Rujuk: Talbis Iblis, m/s. 81-82 – Maktabah Syamilah)

Fitnah-fitnah pemisahan dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali tersebut pun akhirnya mengobarkan api kebencian dan pemberontakan. Termasuk di dalamnya adalah fitnah perang Jamal dan Siffin yang mengakibatkan para sahabat bertembung sesama sendiri akibat diapi-apikan oleh kelompok ketiga berideologikan khawarij.

Pada sela-sela masa seterusnya muncullah tokoh-tokoh khawarij lainnya mewarisi ideologi dua tokoh utama mereka ini (Dzul Khuwaishirah dan ‘Abdullah B. Saba’). Antaranya adalah seperti ‘Abdullah B. Muljam yang telah membunuh ‘Ali radhiyallahu ‘anhu ketika sedang keluar untuk solat Subuh dengan pedang yang disapu racun. Manakala sekutu ‘Abdullah B. Muljam iaitu al-Barak B. ‘Abdullah dan Amr B. Bakar at-Tamimi pula merancang membunuh Mu’awiyah B. Abu Sufiyan dan Amr B. Al-‘Ash. ‘Abdullah B. Muljam adalah seorang yang kuat beribadah dan hebat bacaan al-Qur’annya, namun sayang manhaj berfikirnya menyimpang dari methodologi para sahabat dalam memahami nash-nash agama.

Di zaman al-Hasan B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, ketika beliau hendak melaksanakan perdamaian dan menyerahkan pemerintahan kepada Mu’awiyah B. Abu Sufiyan, muncul pula tokoh bernama al-Jarrah B. Sinan. Beliau tampil mencela al-Hasan dan Ayahnya ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Tanpa teragak-agak, al-Hasan pun membunuhnya.

Setelah fasa pemerintahan ‘Ali hingga Mu’awiyah B. Abu Sufiyan, muncul pula nama Mirdas B. Udayyah dan Nafi’ B. Al-Azraq. Mirdas B. Udayyah adalah tokoh yang lahir dari serpihan pemberontak di zaman ‘Ali radhiyallahu ‘anhu yang kemudiannya memimpin pemberontakkan menentang pemerintahan Yazid B. Mu’awiyah. Di antara sikap beliau adalah suka mencari-cari kesalahan pemimpin dan mencanangnya untuk memburuk-burukkan.

Daripada Ziyad B. Kusaib, beliau menceritakan:


كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ


Pada suatu masa pernah aku berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir bersama-sama Abi Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak, “Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”

Maka, Abi Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab al-Fitan, 8/164, no. 2150. Al-Iraqi berkata, isnadnya sahih dan at-Tirmidzi menghasankannya, Takhrij Ahadits al-Ihya’, 5/246, no. 2246. Al-Albani mensahihkannya, Shahih Sunan at-Tirmidzi, 5/224, no. 2224)

Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata:


أبو بلال هذا هو مرداس ابن أدية، خارجي، ومن جهله عد ثياب الرجال الرقاق لباس الفساق


“Abu Bilal dalam hadis tersebut adalah Mirdas B. Udayyah, seorang yang berfahaman Khawarij. Disebabkan kebodohannya, beliau pun menganggap pakaian nipis bagi kaum lelaki sebagai pakaian orang fasiq.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 3/20 dan 14/508)


Kisah-kisah berkaitan kekacauan akibat fitnah ideologi khawarij ini tidak berhenti setakat itu. Bahkan ia terus berlangsung seiring dengan beredarnya zaman. Termasuklah zaman kita hari ini.

Di antara syi’ar utama kelompok khawarij ini adalah mereka sentiasa berusaha mengambil kesempatan di atas kelemahan para pemerintah umat Islam bagi tujuan memisahkan diri dari ketaatan terhadap kepimpinannya dan berhajat mengambil alih tampuk kuasa tersebut dengan apa jua cara walapun jelas dilarang oleh agama. Mereka menganggap perbuatan memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah sebagai salah satu bentuk sarana amar ma’ruf nahi mungkar dan termasuk amalan jihad yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Selain itu, mereka juga dikenali memiliki keyakinan (fahaman) bahawa sesiapa sahaja yang melakukan dosa besar adalah kafir. Walaupun adakalanya penetapan dosa tersebut hanya pada andaian mereka semata-mata. Mereka juga terkenal dengan sikap terburu-buru dalam menyesat dan mengkafirkan umat Islam atas alasan dosa besar.

Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) berkata:


ومن خرج على إمام من أئمة المسلمين فهو خارجي قد شق عصا المسلمين وخالف الآثار وميتته ميتة جاهلية ولا يحل قتال السلطان ولا الخروج عليه وإن جار وذلك


“Dan sesiapa yang keluar dari ketaatan terhadap para pemerintah umat Islam maka mereka termasuk golongan khawarij. Mereka bertindak memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan menentang sunnah. Sekiranya mereka mati, matinya adalah mati jahiliyyah. Tidak boleh mengangkat senjata memberontak (atau memerangi) pemerintah dan tidak boleh keluar dari ketaatan terhadapnya walaupun pemimpin tersebut seorang yang jahat.” (Syarhus Sunnah, no. 33)

Para ulama ahlus sunnah menjelaskan pemberontakan terhadap pemerintah yang paling ringan adalah memusuhi dengan hati, kemudian celaan atau hasutan kebencian dengan lisan, dan yang paling berat adalah dengan tangan dan senjata. Menurut Imam asy-Syahrastani (Wafat: 548H) dalam kitabnya al-Milal wa an-Nihal, pemerintah dalam persoalan ini tidak terhad kepada zaman ketika Khulafa’ al-Rasyidin atau tabi’in semata-mata, tetapi juga termasuk para pemerintah umat Islam di setiap zaman. Sama ada pemerintah yang adil, zalim, mahupun yang fasiq. Ini sebagaimana kata beliau:

“Al-Khawarij, al-Murji’ah, dan al-Wa’idiyyah digunakan untuk menyebut semua kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah yang sah dan diperakui oleh jama’ah (majoriti) umat Islam. Istilah khawarij digunakan untuk menyebut kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan dan tidak mengakui keabsahan pemerintah yang dilantik sama ada pada zaman para sahabat, khulafa’ur Rasyidin, tabi’in, atau pada masa setelah itu di sepanjang zaman.” (al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah)

Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menegaskan bahawa khawarij adalah kaum yang jahat lagi derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka dikenali rajin beribadah seperti solat malam, berpuasa, dan membaca al-Qur’an, tetapi kebaikan mereka ini sedikitpun tidak memberi manfaat. Kerana mereka memahami nash-nash agama dengan kaedah dan tafsiran yang menyeleweng lagi mengikuti hawa nafsu. Kata beliau:


لم يختلف العلماء قديماً وحديثاً أن الخوارج قوم سوء، عصاة لله عز وجل ولرسوله صلى الله عليه وسلم، وإن صلوا وصاموا، واجتهدوا في العبادة ، فليس ذلك بنافع لهم، وإن أظهروا الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، وليس ذلك بنافع لهم، لأنهم قوم يتأولون القرآن على ما يهوون، ويموهون على المسلمين. وقد حذرنا الله عز وجل منهم، وحذرنا النبي صلى الله عليه وسلم ،وحذرناهم الخلفاء الراشدون بعده، وحذرناهم الصحابة رضي الله عنهم ومن تبعهم بإحسان رحمة الله تعالى عليهم. والخوارج هم الشراة الأنجاس الأرجاس، ومن كان على مذهبهم من سانر الخوارج، يتوارثون هذا المذهب قديماً وحديثاً، ويخرجون على الأئمة والأمراء ويستحلون قتل المسلمين

“Para ulama sepakat menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa, dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka kerana mereka telah menyelewengkan makna ayat-ayat al-Qur’an bersesuaian dengan hawa nafsunya. Mereka juga menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak bermanfaat bagi mereka. Kerana mereka gemar menafsirkan al-Qur’an dengan hawa nafsu dan menipu umat Islam. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah memberi peringatan kepada kita dari bahaya dan kesesatan mereka. Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa al-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik turut mengingatkan. Khawarij ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis, dan kotor. Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mereka memisahkan diri dari para pemerintah umat Islam, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan tindakan membunuh umat Islam.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/22)

Kemudian beliau memberikan satu peringatan tegas untuk kita semua dengan katanya:


قد ذكرت من التحذير عن مذاهب الخوارج ما فيه بلاغ لِمن عصمه الله عَزَّ وَجَلَّ الكريم، عن مذهب الخوارج، ولَم ير رأيهم وصبر عَلَى جَوْر الأئمة، وحَيْف الأمراء، ولَم يَخرج عليهم بسيفه، وسأل الله العظيم كشف الظلم عنه، وعن جَميع المسلمين، ودعا للولاة بالصلاح، وحجَّ معهم، وجاهد معهم كل عدو للمسلمين، وصلى خلفهم الجمعة والعيدين، وإن أمروه بطاعتهم فأمكنته طاعتهم أطاعهم، ولِمن لَم يُمكنه اعتذر إليهم، وإن أمروه بِمعصية لَم يطعهم، وإذا دارت بينهم الفتن لزم بيته، وكفَّ لسانه ويده، ولَم يَهو ما هُم فيه، ولَم يُعن عَلَى فتنته، فمن كَانَ هذا وصفه كَانَ عَلَى الطريق المستقيم إن شاء الله تعالَى

“Sungguh-sungguh aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab khawarij. Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang dipelihara oleh Allah ‘Azza wa Jalla yang maha Mulia dari mazhab al-khawarij, dan tidak supaya berpegang dengan mazhab mereka, dan hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan ketidak-adilan pemimpin, dan tidak keluar dari ketaatan kepada mereka dengan senjata (pedang). Kita berharap kepada Allah yang maha Agung supaya menghilangkan kezaliman darinya, juga dari semua kaum muslimin, dan mendoakan para pemimpin dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat juma’at dan solat dua hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/37)


Bibit-bibit pemisahan diri dari ketaatan terhadap pemerintah biasanya bermula dengan perasaan iri dan dengki di dalam hati. Kemudian dengan provokasi kebencian melalui lisan mahupun tulisan. Ini akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar lagi seperti perselisihan, pertengakaran, kebencian, kemarahan dan perpecahan. Sehingga akhirnya akan mengakibatkan sikap anti pemerintah dan mungkin pergolakkan di kalangan rakyat untuk menuntut revolusi. Ini akan membawa kepada pertembungan rakyat dengan pemerintah. Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku pada zaman awal Islam, tetapi terus berlarutan di setiap zaman. Termasuk yang terbaru sebagaimana sedang berlaku di Timur tengah seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Bahrain, dan Yaman sekarang. Kesudahan dari perkara ini amatlah buruk, iaitu hilangnya keamanan, rosaknya harta benda, hilangnya jiwa (pertumpahan darah), merugikan masa, dan bahkan hingga hilangnya kedaulatan negara.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam bersikap terhadap para pemimpin. Hendaklah kita melazimi manhaj ilmu, sabar, dan bertindak di atas maslahah serta kaedah yang benar. Tidak mengikuti hawa nafsu, emosi dan kebencian sehingga mengikuti jejak langkah kaum sesat Khawarij. Yang kemudian dari fahaman khawarij tersebut menyebabkan munculnya pelbagai bentuk kesesatan dan penyimpangan lainnya.

Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) menyatakan:


ومن رأى هؤلاء أحدث المعتزلة في التحسين والتقبيح إلى العقل وأن العدل ما يقتضيه ثم حدث القدرية في زمن الصحابة وصار معبد الجهني وغيلان الدمشقي والجعد بن درهم إلى القول بالقدر ونسج على منوال معبد الجهني واصل بن عطاء وانضم إليه عمرو بن عبيد وفي ذلك الزمان حدثت سنة المرجئة حين قالوا لا يضر مع الإيمان معصية كما لا ينفع مع الكفر طاعة ثم طالعت المعتزلة مثل أبي الهذيل العلاف والنظام ومعمر والجاحظ كتب الفلاسفة في زمان المأمون واستخرجوا منها ما خلطوه بأوضاع الشرع مثل لفظ الجوهر والعرض والزمان والمكان والكون وأول مسألة اظهروها القول بخلق القرآن وحينئذ سمي هذا الفصل فصل علم الكلام

“Daripada semua inilah (fitnah ideologi khawarij), muncullah pula golongan al-Muktazilah yang menyerahkan soal penilaian baik dan buruk berdasarkan pertimbangan akal. Keadilan juga dinilai dengan akal. Kemudian muncul pula firqah Qadariyah pada era sahabat. Ia mula diutarakan oleh Ma’bad al-Juhani, Ghailan ad-Dimasyqi, dan Ja’ad B. Dirham. Kemudian ideologi muktazilah ini dikembangkan oleh Washil B. Atha’ (pada fasa tabi’in). Seterusnya ia didukung pula oleh Amr B. Ubaid. Pada ketika inilah muncul pula golongan Murji’ah yang mengatakan, “Suatu maksiat tidak akan memberi sebarang kesan selagi ada keimanan, ini sebagaimana halnya ketaatan yang tidak akan berguna selagi ada kekafiran.” Kemudian berkembang lagi pemikiran Muktazilah melalui Abu al-Hudzail B. Al-Allaf, an-Nizham, Ma’mar dan al-Jahizh. Golongan Muktazilah ini kemudiannya menekuni buku-buku falsafah ketika zaman pemerintahan al-Ma’mun. Melalui buku-buku falsafah tersebut mereka pun membuat kesimpulan (mengeluarkan pendapat) yang bercampur-aduk dengan urusan-urusan syari’at. Ini seperti munculnya istilah-istilah baru berkaitan jisim, bukan jisim, masa, tempat, dan alam. Permasalahan pertama yang mereka lontarkan kepada umum adalah soal status al-Qur’an adalah makhluk. Maka zaman ini disebut sebagai era ilmu kalam (teologi).” (Talbis Iblis, m/s. 87 – Maktabah Syamilah)

Sebenarnya mereka yang memiliki ideologi khawarij ini, dalam masa yang sama mereka juga mungkin membawa ideologi Murji’ah dan Muktazilah. Ini kerana mereka memfokuskan kesalahan hanya di pihak pemerintah semata-mata. Walau sekecil manapun perkara kemungkaran tersebut sekiranya berada di pihak pemerintah, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membongkar dan mengkritiknya lalu menjadikannya sebagai bahan membantai pemerintah di pentas-pentas umum. Manakala di pihak mereka walau melakukan pelbagai kemungkaran termasuk syirik dan bid’ah, mereka akan membiarkan dan mendiamkannya. Bahkan di sisi mereka, kemungkaran boleh jadi halal atas tiket menentang kezaliman pemerintah. Mereka menganggap mengkritik dan mencerca pemerintah adalah suatu yang tidak memiliki kesalahan sama sekali selagi mana datangnya dari kelompok mereka. Mereka juga mengimani bahawa menyertai praktik sistem demokrasi yang ada hari ini adalah halal atau sekurang-kurangnya tidak akan memberi kesan dosa atas tiket (wasilah) menjatuhkan pemerintah yang mereka anggap sebagai jihad amar ma’ruf nahi mungkar.

Mereka juga boleh bersama sesiapa sahaja sama ada golongan yang fasiq, ahli bid’ah, pelaku syirik, atau penyembah berhala atas fokus menentang pemerintah. Dan mereka tidak akan mengkritik sesiapa sahaja di pihak mereka dengan menganggapnya sebagai tidak ada apa-apa. Atau mungkin paling tinggi pun, akan bersikap basa-basi dan acuh tidak acuh dengan kesalahan teman-teman mereka. Sebaliknya akan menentang habis-habisan sesiapa sahaja yang berada di sisi pemerintah. Inilah bentuk-bentuk pemikiran murji’ah yang menyelinap dalam kelompok penentang pemerintah hari ini dari kalangan pembangkang atau pergerakan dakwah politik.

Setelah mereka bergelumang dengan ideologi khawarij dan murji’ah, dalam masa yang sama juga mereka akan mengambil kaedah-kaedah muktazilah iaitu mengedepankan akal dalam mentakwil nash-nash syari’at bagi menghalalkan segala bentuk perbuatan mungkar mereka. Demikianlah dahsyat dan rosaknya akar pemikiran khawarij. Inilah yang banyak berlaku dalam kalangan golongan pembangkang yang memusuhi pemerintah di pelbagai negara Islam hari ini.

Sebab itulah Imam asy-Syahrastani (Wafat: 548H) berkata dalam al-Milal wa an-Nihal, “al-Murji’ah adalah satu kelompok yang berbicara tentang iman dan amal, tetapi dalam masa yang sama kelompok ini sepakat dengan khawarij dalam beberapa perkara terutamanya tentang pemerintahan (imamah).” (al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah).

Untuk melihat lebih lanjut berkaitan kecelaruan pemikiran khawarij moden ini, para pembaca boleh merujuk karya Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri yang berjudul, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah wa al-Ihfi’aalat al-Hamaasiyyah.

Dalam kitabnya tersebut Syaikh ‘Abdul Malik menukilkan sebahagian perkataan salaf yang menyatakan bahawa Khawarij adalah murji’ah dalam masa yang sama. Antara nukilan tersebut, “Murji’ah beranggapan tidak wajib mentaati pemerintah” sebagaimana disebutkan oleh Imam ash-Shabuni dalam Aqidatus Salaf Ashhabul Hadits. Kemudian kata Imam Ahmad, “Bahawasanya Khawarij itulah murji’ah.” Kemudian beliau menukilkan - Termasuk di dalam sikap dan karektor pemikiran murji’ah adalah mereka mendiamkan kesesatan ahli bid’ah dan tidak membongkarnya. Sebaliknya mereka mencela dan memperlekehkan pula orang yang mengajarkan sunnah dan tauhid. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa murji’ah memiliki sikap bertoleransi dengan sesiapa sahaja sama ada dari kalangan ahli maksiat mahupun ahli bid’ah selagi mana bersama-sama kelompok mereka. Kenyataan ini beliau nukilkan daripada Majmu’ al-Fatawa oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah (12/467) dan Badai’u at-Tafsir oleh Ibnul Qayyim.

Kemudian beliau menyebutkan dengan kata-kata yang tegas:


ولا يَختلف اثنان أن هذا من أعظم الأسس التي يرتكز عليها دين الحركية؛ وهل ثَمَّ أحدٌ يُنكر مقولتهم: (ليَعذر بعضنا بعضاً فيما اختلفنا فيه، ولنعمل فيما اتَّفقنا عليه!!)، وقد بيّنت ـ في هامش قريب ـ من كلام حسن البنا أنهم يَعنون الاختلاف بإطلاق! قالوا هذا؛ لأنهم لو أخذوا يُنكرون على أهل البدع لضيَّعوا أكثر متبوعيهم الذين يمدّونهم في الغيّ!

“Tidak ada yang menyanggah bahawa kaedah seperti ini adalah prinsip (atau asas) utama bagi sebuah dakwah dalam harakah (atau parti) politik. Adakah sesiapa yang mempertikaikan bahawa merekalah yang mengatakan, “Marilah kita saling bertoleransi dalam apa yang diperselisihkan, dan marilah kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati.” Telah saya jelaskan pada nota kaki sebelumnya daripada perkataan Hasan al-Banna bahawa maksud mereka adalah merujuk segala bentuk perselisihan! Mereka sengaja mencanangkan kaedah tersebut kerana apabila mereka menyanggah ahli bid’ah, maka akan bertempiaran larilah para pengikut mereka yang selama ini membantu mereka dalam kesesatan!” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 257)

Demikianlah syubhat dan celarunya pemikiran kelompok sesat penentang pemerintah bermazhab khawarij. Atas sebab itulah disebutkan daripada sebuah hadis bahawa Khawarij adalah anjing-anjing neraka.

Ini antaranya sebagaimana dalam hadis berikut:


عَنْ سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ لَقِيتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى وَهُوَ مَحْجُوبُ الْبَصَرِ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ قَالَ لِي مَنْ أَنْتَ فَقُلْتُ أَنَا سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ فَمَا فَعَلَ وَالِدُكَ قَالَ قُلْتُ قَتَلَتْهُ الْأَزَارِقَةُ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كِلَابُ النَّارِ قَالَ قُلْتُ الْأَزَارِقَةُ وَحْدَهُمْ أَمْ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ بَلَى الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ قُلْتُ فَإِنَّ السُّلْطَانَ يَظْلِمُ النَّاسَ وَيَفْعَلُ بِهِمْ قَالَ فَتَنَاوَلَ يَدِي فَغَمَزَهَا بِيَدِهِ غَمْزَةً شَدِيدَةً ثُمَّ قَالَ وَيْحَكَ يَا ابْنَ جُمْهَانَ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

Daripada Sa’id B. Jumhan, beliau berkata, “Aku menemui ‘Abdullah B. Abi Aufa, ketika itu beliau tidak dapat melihat (buta). Kemudian aku mengucapkan salam kepadanya.

Beliau bertanya, “Siapakah engkau?” Aku menjawab, “Aku adalah Sa’id B. Jumhan.”

Beliau bertanya lagi, “Apakah yang dilakukan oleh ayahmu?” Aku menjawab, “Beliau telah dibunuh oleh (kaum) al-Azariqah.” Beliau pun berkata, “Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mennceritakan kepada kami, bahawa mereka adalah anjing-anjing neraka.”

Aku bertanya, “Adakah hanya kelompok al-Azariqah sahaja, atau merujuk kepada semua kaum Khawarij?” Beliau menjawab, “Ya, benar. Semua kaum Khawarij.”

Aku berkata, “Sesungguhnya para penguasa sedang menzalimi rakyat dan berbuat tidak adil kepada mereka.” Akhirnya Abdullah bin Abi Aufa memegang tanganku dan menggenggamnya dengan sangat erat, lalu beliau berkata, “Duhai celaka kamu wahai Ibnu Jumhan. Hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’dzam, hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’zham. Sekiranya engkau mahu penguasa tersebut mendengar nasihat kamu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang kamu ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 32/157, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Majmu’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’ammalatul Hukkam)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/116, no. 5994)

Umar al-Bakkali pernah menyatakan:


إذا كانت عليكم أمراء يأمرونكم بالصلاة والزكاة، حلت لكم الصلاة خلفهم، وحرم عليكم سبهم

“Jika kamu dipimpin oleh pemimpin yang memerintahkan kamu untuk solat dan mengeluarkan zakat, maka halal bagi kamu solat di belakang mereka, dan diharamkan ke atas kamu mencaci-maki mereka.”

Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas menyatakan tentang riwayat ini, “Menurut al-Hafiz dalam al-Ishabah, sanadnya sahih.” (Rujuk: Mu’ammalatul Hukkam fi Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah)


Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan:


عون السهمى اتيت ابا امامة فقال لا تسبوا الحجاج فانه عليك امير وليس على بامير

Daripada as-Sahmi katanya, “Aku mendatangi Aba Amamah, lalu beliau berkata:

“Janganlah kamu mencela (mengutuk dan menghina) al-Hajjaj, kerana beliau adalah penguasa bagi kamu dan bukan penguasa bagiku.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, at-Tarikh al-Kabir, 7/18, no. 83 - Maktabah Syamilah)

Abu Umamah tinggal di Syam, manakala as-Sahmi tinggal di Iraq yang mana pemimpin di Iraq ketika itu adalah al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi, gabernor kepada ‘Abdul Malik B. Marwan. Telah sedia maklum bahawa al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi ini adalah seorang pemimpin yang zalim, bengis, dan fasiq.

Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri hafizahullah menegaskan:


وعلى كل حال فإن مجرَّد التحريض على السلطان المسلم ـ وإن كان فاسقا ـ صنعة الخوارج، قال ابن حجر في وصف بعض أنواع الخوارج: "والقَعَدية الذين يُزَيِّنون الخروجَ على الأئمة ولا يباشِرون ذلك"، وقال عبد الله بن محمد الضعيف: "قَعَدُ الخوارج هم أخبث الخوارج

“Apapun, walau hanya sekadar melakukan provokasi (menebar kebencian) terhadap pemerintah umat Islam walaupun pemerintah tersebut fasiq, ia telah layak dilabel khawarij. Ketika menjelaskan berkaitan beberapa pecahan kelompok khawarij, Ibnu Hajar berkata, “Di antaranya adalah al-Qa’adiyah, iaitu kelompok yang membuat provokasi (menebar kebencian) untuk keluar dari ketaatan terhadap pemerintah sedangkan mereka sendiri tidak terlibat secara langsung dalam pemberontakan tersebut.” ‘Abdullah B. Muhammad adh-Dhaif berkata, “Kelompok al-Qa’adiyah ini merupakan pecahan kelompok khawarij yang paling buruk.” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 266)

Sebab itulah antaranya Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) menegaskan bahawa mereka yang menyebarkan kebencian terhadap para pemerintah wajib diambil tindakan supaya dia meninggalkan perbuatannya tersebut. Sekiranya dia berdegil, maka dia boleh dihukum penjara atau yang seumpamanya. Ini adalah sebagaimana kata beliau berikut:


ويؤدب من يثبط عنه" فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام

“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah)

Ini kerana perbuatan mencela dan dan melaungkan kebencian terhadap pemerintah ini mengandungi larangan yang berat dan akibat yang buruk. Ia termasuk salah satu ciri kebid’ahan dalam mazhab khawarij. Bahkan tidak sedikit para pemerintah yang terbunuh akibat dari perbuatan provokasi dan kritikan secara terbuka yang kemudiannya melahirkan bibit pemberontakan. Di antaranya adalah dari kalangan khulafa’ur Rasyidin sendiri seperti khalifah ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu. Di mana sebab utama terbunuhnya ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu adalah apabila gabernornya mula dicela. Secara automatik, ia memberi kesan kepada beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantik mereka. Sehingga akhirnya ‘Utsman pun dibunuh.

Dari semua ini, seharusnya kita sedar dan tidak menyia-nyiakan masa yang ada dengan menyibukkan diri menentang pemerintah. Sebaliknya hendaklah kita melazimi ilmu yang benar demi memahami sebuah manhaj yang murni dan haq iaitu ahlus sunnah wal-jama’ah yang berdiri di atas nash-nash al-Qur’an, al-hadis, dan kefahaman salafus soleh.

Wallahu a’lam...
Sumber - Nawawi

Friday, April 22, 2011

Apabila Masjid Menjadi Medan Politik


Isu video lucah melibatkan individu yang dikatakan mirip seorang pemimpin pembangkang telah menarik perhatian banyak pihak. Pelbagai cara nampaknya digunakan untuk membersihkan nama pemimpin tersebut, termasuklah semasa khutbah Jumaat.

Kejadian ini berlaku pada Jumaat lalu (15 April) di Masjid Jamek Kampung Melayu, Ampang. Khutbah hari itu telah digunakan sepenuhnya oleh khatib untuk mempertahankan isu video lucah yang didakwa membabitkan pemimpin pembangkang itu.

Khutbah pertama pada hari itu pada awalnya menerangkan apa erti hasad dengki dan fitnah dengan menerangkan serta mengambil iktibar bagaimana iblis tidak senang apabila Allah mencipta Nabi Adam dan berikrar untuk menentang manusia hingga hari kiamat. Banyak ayat-ayat al-Quran digunakan dalam khutbah pertama yang berlangsung selama 15 minit.

Pada bahagian kedua khutbah pertama itu, khatib sempat menyelitkan isu terkini iaitu video lucah. Khatib terbabit menerangkan bahawa terdapat dua senario melalui video lucah itu. Yang pertama, sekiranya video lucah itu tulen dan pelakonnya juga tulen, tetapi cara dan mekanismenya adalah bertujuan khianat bagi mengaibkan pemimpin pembangkang.

Khatib itu berkata, perbuatan itu adalah bersifat khianat dan hasad dengki serta menganggapnya sebagai satu fitnah. Khatib sempat juga mempertahankan tokoh pembangkang berkenaan dengan mengatakan pendekatan mengaibkan ini serupa dengan modus operandi yang didakwa digunakan oleh pemerintah pada tahun 1998.

Malah, khatib itu turut mendakwa pelakon dalam video itu bukan pemimpin parti pembangkang itu. Sebaliknya beliau menegaskan, pemimpin pembangkang tersebut telah difitnah dengan begitu kejam.

Beliau sempat mengajak jemaah supaya mempercayai kata-kata Datin Seri Wan Azizah bahawa hanya seorang isteri sahaja yang tahu bentuk badan suaminya. Pada ketika ini, saya sudah menutup telinga kerana tidak berminat mendengar khutbah tersebut.

Tiba-tiba seluruh hadirin di masjid itu dikejutkan dengan jeritan seorang makmum yang berkata ke arah khatib, “Hoi cukuplah. Di sini bukan untuk berkempen politik”.

Saya mengenengahkan isu ini kerana Sultan Selangor telah pun bertitah sebelum ini tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan masjid yang sepatutnya menjadi tempat ibadah sebagai pentas politik individu tertentu.

Saya percaya makmum yang menghadiri khutbah Jumaat lalu kesal. Namun mereka tidak mempunyai pilihan lain ketika itu selain menunggu ‘khutbah’ tersebut kerana menunaikan solat Jumaat adalah satu kewajipan bagi saya dan makmum Islam yang lain.

Fatwa kebangsaan atau fatwa negeri Perak?



Muzakarah Fatwa Kebangsaan Tidak Halang Poco-Poco Di Negeri Lain
SEPANG, 22 April (Bernama) -- Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Jumaat memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Keputusan JFNP haramkan poco-poco selepas kajian dilakukan untuk jaga akidah umat Islam
IPOH: Keputusan untuk mengharamkan tarian poco-poco dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNP) selepas melakukan kajian mendalam mengenai pelbagai aspek tarian itu daripada sudut hukum Islam, bukan dibuat berasaskan logik akal.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata keputusan JFNP itu bukan dibuat sesuka hati tetapi untuk menjaga akidah umat Islam di negeri ini selepas mendapati ia mengandungi unsur agama lain selain berlaku percampuran jelas lelaki dan wanita bukan muhrim. 


Di atas adalah berita yang di ambil daripada bernama dan juga berita harian, persoalan kepada rakyat Malaysia dan GAMB ini, mengapa Fatwa Kebangsaan dan Negeri Perak tidak sehaluan dan  berlaku percanggahan?  mengapakah dalam fatwa perlu ada 2 haluan yang berbeza sedangkan mazhab yang diikuti adalah ahlus sunnah wal jamaah dan ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat ISLAM. Jika pihak fatwa sendiri tidak sehaluan, bagaimana umat ISLAM ingin bersatu? baru sahaja Imam Masjidil Haram memberikan khutbah yang meminta umat ISLAM bersatu padu dan jangan berpecah belah, sedangkan pihak fatwa yang menjadi kata putus tidak sehaluan dalam mengeluarkan fatwa. Jika ini berterusan tidak mustahil perpecahan umat ISLAM berlaku. BANGKITLAH UMAT ISLAM!! BERSATU DEMI AGAMA ISLAM!! BERPADU DEMI MEMPERTAHANKAN ISLAM YANG SEBENAR!! inilah yang Rasul kita Nabi Muhammad S.A.W amat risaukan umatnya berpecah belah, sehinggakan di akhir hayatnya menyebut ummati, ummati, ummati. Renungkanlah. -Pandangan Ketua GAMB Melaka Kekanda Hulubalang Utama Ds Mohammad Farhan.

Thursday, April 21, 2011

Isu Melayu Dan Perjuangan Bangsa Bukan Rasis

 
Apa Maksud Rasis?
Maksud Rasis kalau mengikut Kamus Dewan Edisi ke 4 ialah orang yang mengamalkan kepercayaan atau junjungan bahawa hanya bangsanya sahaja yang dianggap unggul atau mendukung pendukung utama bangsa lain di dunia.

Kalau ikut pentakrifan melalui Bahasa Inggeris melalui perkataan racist pulak, kalau rasis itu digunakan sebagai kata nama, maksudnya seseorang dengan kepercayaan prejudis bahawa satu bangsa adalah lebih tinggi darjatnya dari bangsa yang lain.Kalo digunakan sebagai kata sifat pula, rasis bermaksud perbuatan diskriminasi ke atas sesuatu bangsa atau agama.

Siapa yang rasis?
Ini persoalan yang sangat kritikal . Ini kerana perbuatan rasis ini dibuat oleh semua bangsa yang wujud di dunia ni. Samada ianya bersifat ganas atau tidak sahaja. Bagi bangsa yang mahu mempertahankan kedudukannya di negara terbabit, bangsa itu perlu bersifat rasis bagi memastikan hak bangsanya yang menjadi tunjang asas kenegaraan sesebuah negara itu terjamin.

Bagi bangsa yang pada awalnya bersifat imigran seperti Yahudi di Amerika Syarikat, mereka akan menjadikan sifat rasis ini untuk menaikkan semangat bangsanya untuk terus menguasai ekonomi dan seterusnya mendapat perhatian dari kuasa politik di negara tersebut.

Kiranya di sini, di mana sahaja, apa jua bangsa, mereka akan bersifat rasis. Cumanya bangsa tersebut melakukan tindakan yang menyebabkan bangsa lain marah atau tidak. Adakah bangsa yang rasis ini memudaratkan bangsa lain atau tidak. Ini menjadi persoalan



Isu Melayu Dan Perjuangan Bangsa Bukan Rasis 


Dipetik dari blog http://wzwh.blogspot.com
Sebelum merdeka rundingan orang Melayu mudah jika kaum Cina dan India mahu warganegara perlu terima hak, agama Islam, bahasa dan Raja-Raja Melayu.

Kegagalan Malayan Union melahirkan UMNO. Ini asas Perkara 153 perlembagaan Malaysia. Ini perkara yang orang Melayu pertahankan. Apakah bila kaum bukan Melayu senang lenang setelah 54 tahun merdeka maka mahu desak Perkara 153 dihapuskan?

1963 terdapat ideologi baru Malaysian Malaysia mahu hapuskan hak Melayu. DAP dan Gerakan begitu lantang. MCA tidak nyata secara terbuka.

UMNO mempertahankan hak Melayu ini. Tapi PAS tidak mahu isu Islam dan Melayu bercantum menuduh perjuangan UMNO sebagai puak rasis @ assobiyah.

Di Tanah Melayu @ Malaysia, Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Islam menuntut perjuangan mempertahan agama, bangsa dan tanahair. Bukan rasis malah bersifat global bukti Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Melayu lain di Nusantara.

Nabi SAW bersabda, " Cinta kepada tanahair sebahagian dari iman"

Keterangan al-Quran : "Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu (berasal) dari seorang lelaki (Adam) dan seorang wanita (Hawa) dan (setelah itu) kami jadikan pula pelbagai bangsa dan puak agar kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Orang yang paling mulia di antara kamu ialah yang paling bertakwa."

Allah sengaja wujudkan pelbagai bangsa supaya dapat berkomunikasi untuk faedah masing-masing bukan bergaduh dan berpecah-belah serta bina blok-blok sendiri. Nilai terbaik bagi sesuatu bangsa ialah mereka yang bertakwa dikalangan bangsa yang berpegang dan beramal dengan agama tauhid serta berakhlak mulia. Dalam konteks Malaysia orang Melayu beragama Islam.

Nabi SAW bersabda,"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempertahankan suku dan bangsa, selagi tidak dalam perkara melakukan dosa (yang menyalahi peraturan dan undang-undang)" (Riwayat Abu Daud).

Perjuangan membela bangsa di atas jalan kebenaran tidak assobiyah. Maksud assobiyah yang dilarang ialah mempertahankan bangsa di atas jalan kezaliman atau melanggar perintah Allah.

Sabda Nabi SAW bersabda, " Assobiyah itu ialah jika kamu membantu kaum kamu di atas jalan yang salah." (Riwayat Abu Daud).

Islam amat menggalakkan kita bantu membantu sesama bangsa di atas jalan kebaikan. Firman Allah maksudnya"...tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran (hukum-hakam Allah)." (Surah al-Maidah (5): 2).

Firman Allah maksudnya"...dan (tanda orang benar-benar beriman dan bertakwa ialah) memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta..." (Surah al-Baqarah (2); 177).

Ayat ini Allah menyebut "kerabat" terdekat dahulu yang utama diberikan harta yang dicintai, ertinya mengutamakan keluarga atau suku atau bangsa sendiri yang terdekat hubungan dengan kita, kemudian baru Allah sebut anak-anak yatim, orang miskin, musafir dan orang yang meminta-minta.

Allah akui wujudnya bangsa dan suku yang terdekat dengan kita yang patut diutamakan. Itulah yang UMNO perjuangkan selama 65 tahun untuk orang Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia. Sebab itu UMNO parti yang diberkati paling lama memerintah negara dalam dunia ini hingga kini.

Maka kita orang Melayu dan kaum-kaum lain yang berfikir perlu mempertahankan UMNO ini dalam memerintah Malaysia sebaiknya. Itu sebab dalam konvensyen terbaru PAS di Shah Alam mengaku isu Melayu dan perjuangan bangsa diakui bukan rasis.

Wednesday, April 20, 2011

Ketua GAMB Melaka Membantah Kenaikan Tarif Air Melaka

Kenaikkan harga air di Melaka bermula pada 1 April telah membuatkan Ketua Gabungan Anak Muda Melayu Bersatu (GAMB) Melaka iaitu Hulubalang Utama Ds Mohammad Farhan membantah sekeras -kerasnya terhadap isu ini. Lebih menjadi bantahan apabila kenaikkan harga air ini tidak diumumkan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB). Tindakan ini membuatkan rakyat menjadi terkejut dan agak membebankan rakyat dengan kenaikkan mendadak ini, jika Selangor menaikkan tarif air sehingga 37% tarif air, kedah menaikkan sebanyak 27% secara purata kini Melaka menjadi sasaran air dinaikkan daripada 5 sen kepada 25 sen.

Sebagai contoh sebuah keluarga di Bukit Baru yang sebelum ini purata bilnya tidak melebihi RM35 lebih tetapi dengan tarif baru ini bilnya mencecah hampir RM50. Walaupun Nampak kenaikkan tidak seberapa namun ini menjadi 1 titik bermulanya rakyat menentang kerajaan sedia ada dengan manipulasi pihak yang menangguk di air keruh.

Dalam keadaan semasa harga barangan yang semakin naik ini, kenaikkan harga air  akan mengundang kemarahan rakyat. Jika di lihat dari segi logiknya peningkatan harga air ini akan membuatkan barang yang dikeluarkan di Melaka yang menggunakan air yang tarifnya sudah naik akan turut naik. Tarif air bagi perniagaan akan menjadi lebih tinggi kerana tarif air bagi perniagaan dan rumah adalah berlainan.

Pihak GAMB Melaka sekerasnya membantah kenaikkan tarif air ini dan memohon pihak SAMB memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada rakyat Melaka. Sesunggguhnya kenaikkan air pada waktu yang amat tidak sesuai ini akan menambah bebanan rakyat Negeri Melaka.


Tuesday, April 19, 2011

KONVOI BERKAYAK 1 MALAYSIA

"KONVOI BERKAYAK 1 MALAYSIA" dari Fort Supai Kuala Linggi ke Kompleks Perahu Layar Hang Jebat, Pengakalan Balak Masjid Tanah, Melaka. Anjuran KELAB RAKAN MUDA (KRM) Masjid Tanah akan diadakan pada 23 dan 24 April 2011. Selain itu ada juga

- PERTANDINGAN KARAOKE TERBUKA...!!

- KURSUS JANGKA PENDEK :
* Andaman
* Kecantikan
* Cup Kek
* Refleksologi
* Penyembelihan Halal

- PEMERIKSAAN KESIHATAN PERCUMA...!!

- PAMERAN :
* Agensi Anti Dadah Kebangsaan AADK
* Jabatan Pertahanan Awam JPAM
* RELA
* Kolej Komuniti Masjid Tanah
* Kolej Universiti Islam Melaka
* ISUNSG Management

- FREE DANCE

- PROGRAM MENGENAL DIRI

Dan banyak lagi acara-acara MENARIK.. Apa tunggu lagi jangan lepaskan peluang pada 23 dan 24 April 2011 ini JOM SERBU
012 - 9240313 @ Syed Fauzi
017 - 2069556 @ Muhammad Fathollah
012 - 2576360 @ Muhammad Fadhli

BLOG TERPILIH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...