AKTIVITI TERKINI


Lokasi Pelawat GAMB

Melaka Darul Azim

Melaka Darul Azim

Friday, January 20, 2012

Nilaikan Pengajarannya


"Aku menjamin sebuah rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar, sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan penipuan walaupun bergurau dan sebuah rumah di tempat tertinggi syurga bagi orang yang memperbaikkan budi pekertinya."
[HR: Abu Daud (4167) : Hasan: Sahih Abu Daud (4800 )]

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
“Janganlah kamu termasuk orang-orang yang mensyirikkan Allah, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berpecah-belah mengikut puak. Setiap puak berbangga dengan apa yang ada pada puak masing-masing.” (Surah ar-Ruum, 30: 31-32)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya Islam itu bermula asing (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Para sahabat) bertanya:
“Siapakah al-Ghuroba’ (golongan yang asing) itu?” Rasulullah bersabda, “Orang-orang yang menjauhi sikap berpuak-puak.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/325, no. 3784. Kata Syu’aib al-Arnauth, “Isnadnya sahih di atas syarat Muslim”)

KONSEP PATRIOTISME DAN NASIONALISME


NASIONALISME merupakan sentimen dalam kalangan penghuni sesuatu wilayah tertentu. Perasaan ini dapat dilihat apabila rakyat sesuatu wilayah itu menggunakan lambang-lambang tertentu seperti sempadan dan ibu kota bagi menentukan taraf negara bangsa, keperibadian kebangsaan, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, ekonomi, kebudayaan dan kesenian, bendera, lagu kebangsaan dan lain-lain.

SECARA nyata, nasionalisme ialah gerakan kesedaran yang menumpukan perhatian bagi menentukan nasib sendiri, bangsa, dan negara untuk mencapai kebebasan dan kesejahteraan serta memupuk keperibadian sejati. Ini berpunca daripada tekanan dan pengaruh asing atau penjajah sehingga anak negeri merasa lemah dan tertinggal dalam lapangan ekonomi, sosial, politik, dan kebudayaan.

PADA awal abad ke-20, nasionalisme menjadi persoalan yang menonjol di Asia Tenggara. Pendidikan Barat telah memberi makna baru kepada hak asasi manusia, persamaan, kebebasan, dan kemerdekaan.

DI Tanah Melayu, orang Melayu memainkan peranan penting dalam memperjuangkan nasib bangsanya pada zaman penjajahan Inggeris. Pengertian “kebangsaan” dihayati oleh orang-orang Melayu kerana ia dikaitkan dengan perjuangan menegakkan maruah bangsa dan negara dalam menentang penjajah.

PATRIOTISME pula merupakan perasaan kesetiaan kepada negara dan ia menjadi unsur penting nasionalisme. Perasaan patriotik ini lebih tertumpu kepada taat setia terhadap Raja dan pemimpin negara. Pengkaji sejarah melihat semangat patriotisme di Malaysia bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan menyemarak pada abad 17 hingga 20.

SEBAGAI sebuah negeri, Melaka mempunyai sistem politik yang kukuh sejak awal abad ke-15. Pemerintahan secara piramid telah meletakkan Raja sebagai ketua negara dan politik serta dibantu oleh Bendahara, Laksamana, Temenggung dan Syah Bandar. Melaka pula mempunyai rakyat yang setia kepada Raja sebagai pemerintah dan raja yang berdaulat.

CIRI-CIRI patriotisme iaitu semangat taat setia kepada Raja dan pemerintah telah diamalkan oleh rakyat Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka bagi mewujudkan kedaulatan, kekuatan, kestabilan, dan peluasan empayar kerajaan. Rakyat Melaka sanggup berkorban demi mempertahankan negeri Melaka daripada diserang musuh dan bagaimana mereka patuh kepada perintah raja.

UNTUK melihat peranan dan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu menentang musuh dan sifat kesetiaan kepada Sultan, artikel bertajuk “ Wira Melayu Dalam Konteks Patriotisme Zaman Kesultanan Melaka” dibentangkan. Konsep wira Melayu ini menjadi asas kepada semangat patriotisme di kalangan pahlawan Melayu yang setia terhadap pemimpinnya. Ini dapat dilihat juga dalam artikel “Kerja Sama Serantau Mengusir Penjajah Di Persekitaran Selat Melaka”.

PENGALAMAN rakyat Melaka mempertahankan Melaka daripada serangan Portugis dan menentang Inggeris dalam Perang Naning (1930)  ialah contoh cetusan semangat patriotisme rakyat Melaka mempertahankan kedaulatan Raja dan pemerintah Melayu di tanah airnya.

SEMANGAT ini diteruskan dengan lebih meluas di negeri-negeri lain apabila negeri-negeri Melayu yang lain wujud pada abad ke-18 seperti Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris dalam abad 18 dan 19 turut menyemarakkan semangat patriotisme orang Melayu di negeri-negeri Melayu dalam peperangan menentang Inggeris seperti Perang Perak 1874, Perang Pahang 1895, dan lain-lain.

SEHUBUNGAN ini, pahlawan Melaka telah menjadi juara menentang penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Walaupun gagal menghapuskan kekuasaan penjajah di alam Melayu, rakyat Melaka dan rakyat di rantau ini tetap berjuang mempertahankan kedaulatan tanah airnya. Oleh itu, artikel bertajuk “Gerakan Penentangan Terhadap Kuasa Barat Di Melaka” dibentangkan untuk melihat peranan dan semangat patriotisme orang Melayu Melaka dan bagaimana ia menjadi teladan kepada negeri-negeri Melayu lain menentang penjajah.

ABDULLAH Munshi dan Ibrahim Munshi merupakan tokoh pengkritik masyarakat pada abad ke-19 juga turut memainkan peranan penting mengkritik masyarakat Melayu dengan harapan agar mereka berubah sikap demi mencapai kemajuan orang Melayu. Idea pemikiran kedua-dua tokoh ini dapat dilihat artikel yang bertajuk “Pemikiran Abdullah Munshi dan Ibrahim Munshi Tentang Orang Melayu”.

PELUASAN kuasa Inggeris di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 telah mengggabungkan penyemarakan semangat patriotisme orang Melayu (di negeri-negeri bekas jajahan empayar Melaka) di bawah satu kekuatan baru yang dikenali sebagai semangat kebangsaan atau nasionalisme yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu secara menyeluruh. Pada peringkat awal gerakan kebangsaan orang Melayu ini dicetuskan dalam majalah dan akhbar Melayu. Majalah Al-Imam (1906) telah mempelopori gerakan orang Melayu dengan menyiarkan rencana yang membela nasib orang Melayu secara menyeluruh.

BIDANG penulisan terutama akhbar, majalah, dan buku memainkan peranan penting untuk menyemarakkan api kebangsaan di kalangan orang Melayu. Bidang kewartawanan menunjangi golongan agama dengan mempelopori gerakan kebangsaan di Malaysia dan memainkan peranan penting memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Sehubungan ini, artikel “Peranan Penulisan Dalam Gerakan Kebangsaan Di Malaysia” dibentangkan sebagai panduan. Semua pihak yang memperjuangkan kemerdekaan dan kepentingan orang Melayu telah mengggunakan bidang penulisan sebagai senjata utama.

PENGARUH Islam turut memainkan peranan penting dalam gerakan kebangsaan di Malaysia. Rencana-rencana di akhbar dan majalah Melayu seperti Al-Imam, Tunas, Pengasoh, Al-Hikmah, Saudara, Warta Malaya, Utusan Melayu turut menyiarkan rencana yang berkaitan dengan islam yang berhubungkan dengan pembangunan dan kemajuan orang Melayu.

SYED Sheikh Ahmad Al-Hadi, reformis daripada golongan Kaum Muda yang berasal dari Melaka turut memainkan peranan penting dalam gerakan Islah Islamiah melalui al-imam, madrasah, penerbitan buku, ceramah dan lain-lain. Oleh itu artikel yang bertajuk “Gerakan Islah Islamiah : Kajian Terhadap Tiga Tokoh Pelopornya” disediakan bagi memaparkan peri pentingnya peranan dan pengaruh Islam dalam gerakan kebangsaan di Malaysia.

PENGARUH luar terutamanya Timur Tengah, Indonesia, Filipina, India dan China turut memainkan peranan penting mencambahkan gerakan kebangsaan Malaysia. Pengaruh ini turut menyemarakkan semangat rakyat, untuk bersatu dan mengkritik penjajahan melalui akhbar, majalah dan persatuan-persatuan. Pengalaman negara ini yang pernah dijajah dan memperoleh kemerdekaan turut mempengaruhi gerakan kebangsaan Malaysia untuk berjuang mencapai kemerdekaan. Sehubungan ini, artikel bertajuk “Pengaruh Indonesia Dalam Aliran Kiri Gerakan Melayu” disediakan bagi memaparkan peri pentingnya pengaruh luar terutama dari Timur Tengah dan Indonesia dalam usaha menentang penjajah.

KESEDARAN rakyat Malaysia menubuhkan persatuan-persatuan berunsur politik turut menyemarakkan api kemerdekaan tanah air menentang penjajah. Penubuhan Kesatuan Melayu Singapura pada tahun 1926 dan diikuti penubuhan cawangannya di Pulau Pinang dan Melaka pada tahun 1937 turut memberi kesedaran untuk menubuhkan persatuan-persatuan di negeri-negeri lain seperti Persatuan Melayu Perak, Selangor, Pahang, Kelantan, Kesatuan Melayu Muda, UMNO, PKMM dan lain-lain. Sehubungan itu, artikel bertajuk “Gerakan Pertubuhan Kebangsaan Dalam Memperjuangkan Kemerdekaan”, turut dibentangkan.

SETELAH mencapai kemerdekaan, Malaysia yang berdiri sebagai sebuah negara yang bebas, mempunyai perlembagaan dan bendera lalu wujud sebuah negara bangsa Malaysia yang kukuh. Dalam konteks ini, artikel berjudul “Gerakan Kebangsaan Dan Proses Pembentukan Negara : Bangsa Malaysia” dibentangkan untuk melihat sebuah negara merdeka yang bersatu padu. Bagi meneliti kedudukan Malaysia sebagai negara yang kukuh dan stabil diperingkat antarabangsa, artikel bertajuk “Ketahanan Bangsa dan Kelangsungan Negara : Malaysia Dalam Era Globalisasi” dibentangkan juga.

UNTUK memerdekakan negara dan rakyat seluruhnya dari belenggu penjajah Inggeris, lahirlah tokoh-tokoh Melayu yang begitu lantang meniupkan semangat nasionalisme untuk menyedarkan orang Melayu akan hak mereka yang telah dirampas dan betapa mereka perlu menebus maruah dan negara yang telah tergadai. Meskipun ketiga-tiga tokoh ini, Dato’ Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam mempunyai pendekatan yang berbeza dalam menangani masalah orang Melayu khususnya dan negara amnya dalam usaha untuk memerdekakan negara namun visi mereka hanya satu, untuk mengembalikan yang hak dan menebus maruah orang Melayu yang tergadai di tangan orang Inggeris. Ikutilah semangat juang yang ketal oleh ketiga-tiga tokoh ini di dalam “Kepimpinan Melayu 1945-1947”.

Thursday, January 19, 2012

Jati Diri MELAYU & Peradaban Dunia


Profesor Datuk Dr Zainal Kling
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim

Semenjak jatuhnya regim komunis-sosialis di Russia dan Eropah pada hujung tahun 1980-an telah muncul gagasan dan aliran fikiran yang terkenal sebagai ‘pascamoden’. Aliran ini dimulakan oleh Lyotard dalam laporannya yang terkenal sebagai Report on the Status of Knowledge. Penegasan penting gerakan ini ialah menafikan segala bentuk keilmuan yang mengongkong kebebasan individu atau kelompok kecil yang dinamakan sebagai ‘grand narratives’ kerana segala macam ilmu adalah berbentuk ‘relatif’ atau nisbi serta tidak mutlak dalam ruang masa dan tempat. Dengan demikian setiap individu atau kelompok boleh membangun dan menentukan budaya serta ‘identity’ sendiri seperti yang ditanggapinya secara subjektif. Gagasan itu bermakna juga budaya dan identity setiap individu atau kelompok adalah amat dinamik dan sentiasa berubah bergantung kepada konteks dan suasana di mana mereka berada. Tidak ada yang essensi atau asasi kepada kewujudan sesuatu tetapi segalanya adalah daya cipta manusia yang perlu memenuhi segala macam keinginan. Dengan itu telah muncul pelbagai kajian yang meneliti gagasan dan reality sesuatu budaya serta identity terutama dalam gerakan ilmu yang terkenal sebagai ‘cultural studies’ oleh para ilmuwan kesusasteraan moden,  yang kemudian diterjemah ke dalam penelitian kebudayaan Melayu-Indonesia moden sebagai ‘jati diri’. Gerakan ini amat berkait rapat dengan bidang ilmu kesusasteran modern yang terkenal sebagai ‘postcolonial studies’ sebagai gerakan menghurai dan mendedahkan pelbagai motif yang terdapat disebalik sekian banyak penulisan sasterawan kolonial dalam karya-karya dan kritikan sastera di zaman kolonial itu.

Perhatian yang meluas dan mendalam telah berkembang bukan sekadar terhadap motif dan gelagat sastera kolonial bahkan juga pelbagai bentuk sub-budaya yang muncul di kalangan pelbagai kelompok manusia terutama golongan kecil yang disebut sebagai ‘orang bawahan’ atau ‘subaltern’ dan juga ‘pop culture’ atau budaya popular dalam penelitian ‘culture studies’. Maka penentuan terhadap kehadiran dan kekuasaan golongan bawahan itu ditandakan oleh  wujudnya sub-budaya mereka yang memberi kesatuan serta identity atau pengenalan kepada mereka sebagai kelompok yang wajar diiktiraf serta berada di tengah masyarakat, dan  yang mengucapkan kehendak serta keinginan mereka sendiri tanpa tindasan dan pengaburan apalagi pembenaman ke dalam budaya dominan yang paling berkuasa di dalam masyarakat awam.  Justeru itulah penelitian identity atau jati diri menjadi amat penting sebagai pengiktirafan terhadap hak sesuatu kelompok untuk wujud dan bertindak seperlunya di mana saja mereka berada.

Perkembangan penelitian ini kemudiannya telah melahirkan pelbagai kaitan dengan bidang ilmu lain, sosial dan fizikal, serta pengertian dan kefahaman terhadap gagasan identity sehingga membawa kepada penerapan yang lebih luas dan besar meliputi kajian pribadi individu dan juga kebudayaan dan masyarakat yang lebih luas. Demikian itu penelitian ini diterapkan kepada kajian terhadap ciri kebudayaan yang dikenali sebagai jati diri kebudayaan sesebuah masyarakat.

Apa yang mahu dilakukan dalam kertas ini ialah meneliti sedikit akan pengertian ‘identity’ atau jatidiri itu sebagai sebuah konsep dan meneliti pula fungsi serta peranan jati diri Melayu dalam konteks yang lebih luas dalam peradaban dunia moden. Sebahagian dari penelitian konsep itu telah dilakukan dalam sebuah makalah terawal bernama ‘Jati diri Johor’ dan akan dikutip dengan agak meluas bagi menakrif gagasan jati diri kelompok dalam kertas ini.

Keseronokan menimang gagasan baru di tangan yang kurang mahir sering kali amat mengaburkan maksud. Konsep ‘jati diri’ merupakan satu daripada gagasan baru yang demikian indah dan megah untuk digarap dan digunakan dalam pelbagai perbincangan. Pengucapan  yang berlaku seakan melemaskan penggunanya sehingga kita tidak pasti apa yang diwacanakan. Hal ini bukanlah satu kesalahan, lebih-lebih lagi bukan kekurangan kerana pakar psikologi terulung yang menumpukan bahagian besar tenaga penelitiannya  terhadap ‘identity’ yang kini sudah menjadi alihabahasa sebagai ‘jati diri’, yakni Erik Erikson pun terpaksa mengakui bahawa persoalan identity ini, “ as unfathomable as its is all-pervasive. One can only explore it by establishing its indispensibility in various contexts.” (kutipan HR Isaacs, 1989: 29)

Terjemahan terkini gagasan ini kepada ‘jatidiri’ kelihatan tidak memenuhi keperluan ilmiah  yang perlukan kepersisan konsep dan tidak terlalu banyak ketaksaan (ambiguity) yang boleh melenyapkan pengertian umum. Jika terdahulu ‘identity’ itu difahami sebagai ‘pengenalan’ dan amat luas digunakan kepada ‘kad pengenalan’ (identity card) namun konsep pengenalan juga kelihatan kurang menarik. Maka saranan penggunaan beralih kepada jati diri dalam tempuh kira-kira satu dekad terakhir ini.

Terdapat dua masalah kepada konsep ‘jati diri’. Pertama kosakata ‘jati’ itu membawa dua maksud yang amat berbeza ditinjau dari akar umbi maknanya. Pada satu pihak ‘jati’ bermaksud ‘tulen’ atau ‘asli’ seperti dalam penggunaan ‘Melayu jati’, atau ‘anak jati’. Pengertian ini merupakan bahagian terdekat kepada maksud ‘identity’, yakni sifat essensi kepada manusia. Yang asli, tulen dan jati kepada seseorang ialah perilakunya, peribadinya yang terpancar pada pagangan nilai dan norma dan juga ciri-ciri pengenalan lain seperti warna kulit, nama serta pelbagai ciri budaya yang dibawanya.

Satu lagi maksud ‘jati’ berasal dari akar umbi bahasa Sanskrit yang bermakna ‘kasta’ seseorang atau kumpulan kasta tertentu. Bilangan nama kasta dalam kalangan masyarakat India amatlah banyak. Maka setiap satu kasta yang bernama itu adalah ‘jati’ kepada pendokongnya.  Justeru itu, jati bermakna kelompok kasta di kalangan masyarakat beragama Hindu. Mungkin maksud ini tidak terlalu relevan untuk diperbincang dengan luas maka cukup sekadar mengetahui akan adanya kerana mungkin boleh menimbulkan kecelaruan maksud dan pengertian jika segolongan peneliti tidak membezakan konteks penggunaan kosa kata ini.

Kembali kepada makna jati sebagai intisari sifat dan ciri asli maka kata gabungan dengan ‘jati diri’ mungkin membataskannya kepada corak keperibadian seseorang individu. Peribadi itu mengenai sifat mental dan psike ‘seseorang’. Demikian itu ia  menjadi agak kurang selesa sebagai pencirian ‘keperibadian’ kelompok. Konsep ‘group identity’ atau ‘jati diri kelompok’ adalah gabungan dari keperibadian perseorangan hingga muncul ‘peribadi umum’ yang tidak lagi menggambarkan sifat dan bentuk psikologi seseorang tetapi adalah suatu bentuk umum yang membayangkan ciri sebuah kelompok besar sebagai gabungan kejiwaan keseluruhan tanpa kaitan khusus dengan seseorang. Kerana itu, mungkin ia lebih baik dinamakan jati diri kelompok sebagai ciri pengelompokan. Namun kelihatan tidak menarik atau sesuai. Maka untuk sementara kita gunakan juga konsep ‘jati diri kelompok’ sebagai gambaran kepada esensi dan sifat asli serta tulin bagi sebuah kelompok seperti terpancar kepada bebarapa ciri kemasyarakatan dan kebudayaan yang sejagat seperti bentuk fizikal, nama, bahasa, sejarah, agama atau kepercayaan dan bangsa.

Dengan fahaman umum sedemikian tentang adanya jati diri kelompok maka dapat kita takrifkan ‘identity’ atau ‘jati diri’ kelompok mengikuti saranan Isaacs (1975:  38)
       
            “To begin with, then, basic group identity consists of the ready-made set of endowments and identifications that every individual shares with others from the moment of birth by the chance of the family into which he is born at that given time in the  given place.”

Terdapat suatu ulasan yang harus diberikan kepada saranan Isaacs ini. Bahawa ‘family’ atau keluarga di mana seseorang itu dilahirkan mungkin berbeza dari keluarga yang menjadi lingkungan kehidupannya kemudian melalui proses pertukaran keanggotaan kelompok keluarga seperti ‘angkat’ ataupun ‘perkahwinan’ keluar dari keluarga asalnya. Perpindahan ini akan mengubah jati dirinya yang asal kepada yang baru seperti perubahan ‘nationality’ (bangsa), agama, bahasa ataupun nama apakala berlaku perpindahan keanggotaan seseorang ke dalam kelompok ‘bangsa’ atau ‘kenegaraan’ yang lain. Segala perubahan ini akan sekaligus memberi jati diri baru kepadanya. Maka keluarga tempat kelahirannya atau keluarga ‘orientation’  tidak menjadi sumber mutlak kepada identiti seseorangn hingga akhir hayatnya. Demikian juga proses kerakyatan dan kebangsaan dapat menukar keanggotaan seseorang hingga mengubah jati diri kelompok bangsanya.

Justeru demikian jati diri mempunyai dua dimensi yang amat penting. Pertama ia adalah segugusan ciri kelompok yang seakan essensi dan kekal bagi setiap anggotanya di sepanjang masa; namun seringkali juga gugusan ciri itu mengalami perubahan kepada bentuk dan ciri baru yang diperolehnya melalui perkembangan sejarah, masa dan suasana kehidupan terutama dalam hubungan atau kontak dengan kelompok dan kebudayaan asing. Jatidiri kelompok itu dapat ditanggapi sebagai suatu gugusan ciri kelompok yang dinamik, berayun (oscillate) dari satu set kepada set yang lain melalui ruang masa dan sejarah serta ruang tempat atau spatial. Pada satu tahap dalam zaman sejarah amat mungkin satu gugusan ciri kelompok memandai kewujudan kelompok itu di dalam lingkungan penempatan atau spatialnya; dan, pada tahap zaman yang kemudian satu set atau gugusan ciri kelompok menandainya selaras dengan desakan dan tuntutan masa dan lingkungan sosiobudayanya.

Kemungkinan perubahan ini membayangkan pula suatu lagi sifat jati diri manusia. Bahawa jati diri itu bukan suatu ciri atau himpunan ciri yang mutlak, kekal dan tidak berubah tetapi adalah sentiasa mengalami perubahan seperti mana nama, pengenalan ataupun sejarah sering kali mengalami perubahan yang pesat hingga boleh menimbulkan kekeliruan terhadap jatidiri seseorang atau kelompok itu. Bahasa Melayu sebagai jati diri Melayu sudah berubah kepada ‘bahasa Malaysia’ meskipun bahasa Melayu tetap digunakan oleh kelompok-kelompok yang lebih luas. Namun di Malaysia jati diri essensi itu akan terpelihara melalui masa dengan penggunaan yang kekal dan konsisten. Demikian juga hal yang berkait sejarah. Meskipun kita dapat bercakap tentang ‘sejarah Melayu’ atau sejarah orang Melayu, namun fakta sejarah adalah sentiasa terbuka kepada tafsiran baru dan penambahan baru. Dengan demikian sejarah boleh berubah dan jati diri berlandaskan sejarah itu turut berubah. Manusia Melayu yang disebut oleh golongan imperialis sebagai ‘pirate’ kini menjadi ‘pahlawan’ dalam tafsiran baru. Sebaliknya pelbagai golongan kolonialis sudah menjadi ’pembelot’ atau “penyeleweng’ dalam sejarah Melayu moden.

Ambil sahaja misalnya, seorang pentadbir serta sarjana kolonial  seperti RO Winsteadt. Apakala kita mentafsir kembali semua tulisannya dan kegiatannya terhadap sastera dan pendidikan bangsa Melayu, ternyata Winsteadt itu adalah seorang ‘colonialist’ yang amat buruk, semata-mata menjadi penindas jahat kepada bangsa Melayu dengan membataskan pendidikan Melayu hanya setakat darjah 3 rendah. Segala tulisannya mengenai sastera Melayu semata-mata bermotifkan ‘penindasan’ dan penaklukan minda Melayu dan meyakinkan orang bahawa bangsa dan tamadun Melayu amat kecil, terbatas, cetek dan tiruan atau ambilan dari kebudayaan asing, tanpa sebarang kreativiti asli atau pencapaian mendalam yang dapat dibanggakan.

Lihat misalnya penilaian beliau terhadap sastera tradisional Melayu. Dari ayat pertama lagi, dalam ‘preface’ (prakata) karya terkenal beliau, A History of Classical Malay Literature (Suatu Sejarah Sastera Klasik Melayu) beliau sudah menggunakan banyak ‘superlative’ yang sengaja mengeji, menghina dan meremehkan bangsa Melayu:

“Anyone who surveys the field of Malay literature will be struck by the amazing abundance of its foreign flora and the rarity of indigenous growths. Malay folklore, even, is borrowed, most of it,     from the vast store-house of Indian  legend, an early crop garnered in the Hindu period, and later in the Islamic.”

(A History of Classical Malay Literature, MBRAS, revised  ed. Y. A. Talib, 1996, halaman ix,

            (Sesiapa sahaja yang meninjau bidang kesusasteraan Melayu akan terpegun dengan kekayaan bungaan asing dan kejarangan amat akan  tumbuhan tempatan. Sastera rakyat,  sekalipun, adalah pinjaman, sebilangan besarnya, dari himpunan  luas  dongeng India, ambilan dari zaman Hindu dahulu, dan kemudian dari Islam)


Perhatikan betapa ganas dia menyorokkan kejian dan penghinaannya dengan  metafora bahasa yang amat kononnya halus namun amat kasar terhadap pencapaian kesusasteraan bangsa  Melayu dan sengaja menjatuhkan air muka serta ‘jati diri’ bangsa Melayu. Inilah ‘anjing’ kolonialis yang didanjung sebagai pembela peradaban Melayu tetapi tidak pernah disanggah untuk mendedahkan penghinaan serta penindasannya terhadap  bangsa Melayu. Malah ramai yang menyanjung tinggi, termasuk penerbitan kembali semua karyanya untuk menegaskan kembali sikap dan penaklukan minda Melayu di zaman pergolakan kebudayaan dan jatidiri zaman kolonial itu. Winsteadt yang hidup berlegar di kalangan raja serta bangsawan Melayu pada awal abad ke 20 sudah pasti memandang hina akan mereka itu sehingga beliau menaggap dirinya dengan jati diri panggilan ‘beta’ dalam tulisannya.

Penilaian kembali dalam suasana pascakolonial pasti saja mengubah gagasan jati diri yang muncul itu. Namun masih ada golongan yang tidak melihat essensi jati diri akan mengalami perubahan. Golongan ini terkenal sebagai ‘essentialist’ yang mempertahankan intisari jati diri sebagai kekal dan mutlak. Terdapat pula  golongan penentang yang bercanggah serta melihat jati diri sentiasa mengalami perubahan mengikut konteks, suasana dan keadaan. Pada sebarang masa dan konteks, jati diri akan sentiasa berinteraksi dengan sekitarannya untuk menyesuaikan diri pada bentuk dan isi agar terus berfungsi dan releven di zamannya.

Justeru demikian, penelitian terkini terhadap konsep dan tanggapan jati diri atau ‘identity’ berlegar disekitar dua pola atau paksi berlandaskan pegangan para pengkaji. Sebilangan pengkaji memahami jati diri sebagai ‘essensi’ atau intisari dan teras kekal serta mutlak tentang binaan dan tumbuhnya ciri-ciri peribadi dari sejak kelahiran seorang individu dalam keluarga dan masyarakatnya. Bagi golongan ‘essentialist’ jati diri itu adalah percekan dan serpihan dari ciri-ciri masyarakat dan budaya yang menjadi lingkungan pembinaan peribadi atau personality seseorang individu sebagai anggota masyarakat. Seorang anak yang lahir membawa bersamanya potensi untuk diwarnai dan dibina peribadinya melalui pembelaan atau sosialisasi yang berlaku oleh pelbagai agen pendewasaan itu – keluarga, rakan sebaya, komuniti setempat dan masyarakat umum serta media massa yang kemudian mempengaruhinya. Ciri-ciri peribadi itu kekal dan bakal diturunkan pula kepada keturunannya yang nanti akan mewariskan pula kepada keturunan mendatang. Maka satu ciri peribadi itu berlarutan menjadi ciri masyarakat melalui interaksi antara anggota yang kemudian melahirkan essensi dari ciri itu sebagai ciri umum dalam masyarakat. Inilah yang menjadi asas ‘tribalism’ yang berakar umbi dari reaksi manusia terhadap alam dan suasana kewujudan serta survivalnya dari ancaman dan cabaran alam dan diturunkan serta diwariskan ke dalam masyarakat melalui sosialisasinya.

            “... that his essential tribalism is so deeply rooted in the condition of his existence that it will keep cropping out  of whatever is laid over it, like trees forcing their way through rocks on mountain sides a mile away” (Isaacs: 26)

Ikatan dengan masyarakat inilah yang memberi makna kepada kehidupan dan kewujudan seseorang. Dalam ‘kurungan’ ikatan masyarakat itu dia menemukan keselamatan dan ketenteraman. Di situ dia menerima pelbagai tetesan nilai, norma, perilaku  yang membeku sebagai ciri-ciri keperibadian diri dan masyarakatnya. Maka dia adalah pancaran dari jati diri masyarakatnya. Inilah yang katakan oleh E. Shils dan C. Geertz sebagai ‘primordial affinities’ atau ‘attachments’. Geertz menjelaskan bahawa ‘affinities’ itu merupakan :‘immediate continuity and kin connection, mainly,  but beyond them the givenness that stems from being born into a particular religious  community, speaking a particular language, or even a dialect of a language, and following particular social practices.” (kutipan Isaacs,  halaman 35). Dengan itu masyarakat membentuk dan menurunkan ‘basic group identity’ yang membina peribadi dan jatidiri individu bersamaan antara keduanya.

Namun golongan ‘relativist’ – nisbiah - tidak menerima kemutlakan identiti atau jati diri individu apalagi kelompok yang mengandungi jutaan individu. Meskipun peribadi individu itu terbentuk oleh proses sosialisasi keluarga dan pelbagai agen di sekitarnya namun individu manusia tidak selamanya tunduk kepada ikatan dan tekanan masyarakatnya. Individu manusia bertindak menurut keperluan dirinya pada masa dan keadaan yang strategis. Dia adalah penentu kepada kewujudannya. Dia membina  strategi hidupnya demi kewujudan dan survivalnya. Dia adalah seorang ‘pembina’ – constructivist – yang menentukan sekitarannya. Jadi antara manusia dengan persekitaran sosiobudaya serta fizikalnya, berlaku saling  interaksi dalam suatu dinamika yang  disebut oleh Giddens sebagai proses ‘structuration’ – membina dan dibina antara keduanya. Dalam sekitaran sosiobudayanya, manusia membina dan dibina peribadi individunya sebagai anggota masyarakat oleh sistem kemasyarakatannya, dan sebaliknya,  peribadi individu dewasa manusia yang menjadi anggota masyarakatnya itu akan memberi pula sumbangan serta membina pula peribadi masyarakatnya secara citra kolektif. Himpunan perilaku sekumpulan anggota masyarakat akan memancarkan atau memberi citra kepada perilaku masyarakatnya. Masyarakatnya dikenali dan difahami dari corak perilaku yang kelompok yang kelihatan oleh pemerhati lain. Maka proses antara kedua pembinaan itu adalah ‘structuring’ dan ‘restructuring’ dalam ikatan yang bertimbal–balik. Maka terdapat bahagian peribadi individu membayangkan masyarakatnya dan masyarakatnya pula membayangkan kesan pengaruh peribadi individu anggotanya. Dalam interaksi inilah muncul pelbagai struktur masyarakat yang memberi rupa dan ciri kepadanya lalu menjadi identiti atau jati dirinya dalam pelbagai sudut pandangan. Segala itu menjadi pula semacam himpunan simbol yang melambangkan masyarakat dan anggotanya. Jadilah lambang itu sebagai ‘emergent structures’ – struktur bermunculan – sebagai petanda kehadiran masyarakat. Maka melalui makna dan kepastian akan maksud pelbagai struktur itu seperti yang diterima dan dilaksana oleh semua anggota, maka mereka bergaul sesama mereka dalam pelbagai suasana. Interaksi seperti inilah yang bukan sahaja relatif kerana sentiasa berubah menurut strategi para pelaku  bahkan menjadi simbolis bagi seluruh proses pergaulan atau interaksi sesama anggota masyarakat.  Maka tidak berlaku simbol dan petanda mutlak yang menjadi ciri sepanjang masa. Setiap masa simbol itu berubah sesuai dengan perubahan keadaan dan maknanya turut berubah dalam pengertian yang muncul sesama keperluan dan strategi para pelaku.


Kelahiran seorang bayi atau anak  adalah pendokong jati diri keluarganya. Badan dan perawakan tabiinya adalah refleksi dari gen ibu bapa. Dia adalah ingatan masa lampau keturunannya. Segala corak dan bentuk warna kulit, wajah, tubuh badan, rambut adalah warisan dari sejarah biologi pewarisnya yang telah lampau. Dia adalah juga bayangan bangsanya. Dia lahir di tempat lahirnya, di kampung halaman dan komunitinya, di negaranya. Segala ini adalah menjadi bahagian dari pengenalan dirinya.  Dikenalilah ia sebagai anak si-anu, di kampung si-anu dengan wajah hitam manis, putih cerah atau rambut keriting, ikal atau lurus. Atau dia menjadi anak ‘bangsa’ itu – Melayu, India, atau Cina – sebagai pengenalan dirinya. Segala ini adalah himpunan ‘endowments’ atau ‘givens’ (warisan) yang dibawanya atau didapatinya sejak lahir. Segala ini dinamakan oleh Erikson sebagai ’shared  sameness’ (persamaan bersama) dengan keluarga, komuniti dan bangsanya.

Bayi itu mendapat nama. Itulah pengenalan yang paling jelas. Ia menjadi identitinya yang berpanjangan. Sebagai lanjutan dari kelahiran itu dia menerima pula segala layanan dalam rangka adat istiadat dan obligasi sistem sosiobudayanya. Segala macam upacara dan adat istiadat akan dikenakan kepadanya, menyambut kelahirannya – dia diazan atau diiqamatkan jika seorang Muslim. Dia dibedong, dibuai, diendoikan, dipotong rambutnya kemudian, diaqiqahkan, dibacakan ‘riwayat’ nabinya dalam bentuk ‘berzanji’ dengan sebuah acara kenduri yang amat elaborate – panjang lebar. Segalanya menjadi bahagian dari simbol pengenalan diri untuk menerimanya itu sebagai anggota baru masyarakat. Dia masuk menjadi anggota baru masyarakatnya dengan upacara itu.

Semakin di dewasa semakin pula dia menerima ajaran adat dan istiadat komunitinya  dengan sentuhan nilai dan  norma yang menjaga serta mengatur hidupnya. Dia dididik dan ditegur dengan norma komunitinya lalu terbentuk semacam peribadi yang ‘baik’ atau ‘baik’, ‘nakal’ atau ‘pemalu’, ‘penakut’ atau ‘berani’ atau sebagainya. Sebagai peribadi unggul dalam komunitinya dia mesti diharap untuk menjadi ‘budak baik’, ‘berbudi bahasa’, ‘berbudi pekerti’ dan ‘berkelakuan mulia’. Dia akan dikenali dengan perangai dan tabiatnya dan dipanggil oleh ibu bapa, rakan, jiran dan masyarakat dengan pengenalan peribadi dan perilaku itu. Jadilah ia seorang yang ‘amat baik’, ‘amat nakal’, ‘amat pemalu’ atau sebagainya. Atau malah dia mendapat jolokan ‘gelaran’ yang memancarkan secara rengkas akan ciri unggul dirinya, sebagai nama ‘timangan’ yang sentiasa dipanggil: ‘bujang’, ‘manja’, ‘intan’ atau apa saja.

Dia akan dewasa dalam masyarakatnya. Satu masa dia keluar dan bergaul dengan ’orang lain’ maka terpancar pula  pada dirinya akan ciri dan nama bangsa, sejarah bangsanya, bahasa dan pertuturan bangsanya, agama dan kepercayaan bangsa. Dia seorang ‘Melayu’, atau ‘Muslim’, atau seorang berbahasa Melayu. Dia telah mendapat seluruh jati diri atau pengenalan bangsanya di tengah-tengah kehadiran pelbagai jenis manusia yang juga mewarisi pelbagai bentuk jati diri bangsa mereka. Maka dia sudah berada dalam konteks kemasyarakatan dan  menjadi bahagian dari kehidupan yang amat pelbagai, plural, heterogen. Dia tidak lagi berada dalam suatu lingkungan yang sama, homogen tetapi amat beragam. Apakah ia akan kekal seperti dahulu di zaman berada di kalangan bangsanya yang seragam; ataukah akan berubah sesuai dengan lingkngan baru yang amat beragam? Pengalaman hidup manusia yang berubah kediaman dan perluasan pengalaman akan menerima kedua-dua proses: kekal dengan jati diri asalnya sambil menerima ciri-ciri baru yang meluas dan memperkaya pengalaman, akal dan mindanya. Dia akan membina strategi baru untuk hidup dan suvival – menerima ciri persekitaran baru untuk kekal dengan kediaman baru sambil memelihara pelbagai ciri asal jati dirinya. Namun identiti kelompoknya akan berubah. Dia menjadi anggota kelompok baru maka dia mendokong jati diri kelompok baru. Jadilah dia seorang ‘China Peranakan’ atau ‘India Peranakan’ kerana berada di tengah sekitaran yang beragam dan asing di Malaysia. Dia tidak lagi semata-mata ‘China’ atau ‘India’ tetapi sudah mendapat tempekan gelaran atau ‘affinity’ lain dan baru.

Justeru itu, jika dia kekal dalam kelompok asalnya maka jati diri asalnya akan mengawal hidupnya sambil memberi kesempatan kepadanya untuk membina komuniti baru dangan ciri kehidupan baru pula. Dalam konteks berada dalam dua ‘alam’ atau ‘dunia’ inilah berlakunya dinamika jatidiri kelompok yang ‘berayun’ atau ‘oscillate’ antara esensi asal dengan tempekan gelaran baru (affinity).

Bagaimana pula pergaulan atau interaksi  dengan kelompok yang berdampingan? Persoalan ‘ayunan’ jati diri dalam hubungan antara kelompok adalah ditentukan oleh nisbi hubungan kekuasaan antara kelompok. Semakin berkuasa suatu kelompok maka semakin muncul jati dirinya yang akan menakrif dan menentukan pula suasana jati diri yang lain. Kekuasaan kelompok dalam banyak hal amat bergantung kepada bilangan anggota atau pegangan kuasa politik. Jadi ukuran ’power’ atau ‘powerlessness’ – kemampuan dan ketidakmampuan - suatu kelompok akan menjadi penentu kepada pegangan terhadap jati dirinya dalam suasana yang beragam dan majmuk. Persaingan dan pergolakan antara kelompok dalam menentukan corak hubungan kuasa antara mereka akan mempunyai natijah – konsekwensi - yang amat kuat terhadap kewujudan dan kehadiran jati diri kelompok itu. Pergolakan inilah yang sedang diperhatikan dalam suasana kebudayaan di Malaysia kini. Sejauh mana satu gugusan jati diri kelompok dapat dipegang sebagai esensi diri atau terkesan oleh pengaruh gugusan ciri dari kelompok lain. Kekuatan persaingan dan persoalan (contestation) antara kelompok itu akan menentukan arah ayunan jati diri itu.

Setiap satu ciri jati diri yang telah dibicarakan akan sentiasa bergolak dan dinamik, dengan erti sering mengalami perubahan. Pergolakan itu akan amat bergantung juga kepada ‘maruah’ atau ‘harga diri’ atau mertabat dan juga kepada kesatuan atau ‘rasa bersama’ – seia sekata - antara anggota kelompok. Harga diri adalah cara seseorang menghargai dirinya atau memandang dirinya (self-esteem) ataupun dipandang boleh ‘orang lain’. Kesatuan adalah keupayaan merasa menjadi anggota kelompok – merasa bangga dan yakin akan keanggotaan itu. Ada individu amat bergantung kepada keanggotaan dengan bangsa atau komunitinya untuk mendapat ‘maruah’ atau harga diri. Ada juga bangsa atau kelompok yang amat memerlukan individunya  yang bermaruah atau ‘tokoh’ untuk membangun kebanggaan dan harga diri kelompoknya. Jadi kedua faktor ini saling berfungsi dalam membina kewibawaan dan sekaligus menegakkan jatu diri kelompok  di tengah suasana majmuk atau plural. Keperluan untuk membina meruah dan harga diri itulah yang menjadi landasan serta dorongan terkuat kepada pergolakan politik dalam masyarakat majmuk dan sekaligus juga menentukan kelansungan jati diri dalam pergolakan dinamik antara kelompok. Dengan demikian terdapat suatu macam daya saing dan daya tahan dalam diri kelompok untuk memastikan ‘survival’ dengan mempertahan jati diri daripada tergelek dan luput oleh landaan kekuasaan kelompok lain. Pertembungan jati diri antara kelompok tidak merupakan ‘during’ dan ‘mentimu’, tergelek luka, menggelek luka. Tetapi,  keadaannya adalah lebih dinamik serta anjal dengan daya hidup - persistency - yang amat kuat walaupun terpaksa tenggelam menjadi ‘tersirat’ dan latent. Demikian itu adalah sifat manusia yang dapat kekal - survive – serta menyesuaikan diri (adaptable) dalam pelbagai suasana serta keadaan.


Berlandaskan takrif di atas kita dapat meneliti pelbagai aspek kehidupan bangsa Melayu bukan sahaja sebagai ciri-ciri kebudayaan bahkan sebagai apa yang tadi difahami sebagai jati diri, yakni ciri utama yang menjadi pengenalan kepada bangsa dan masyarakat Melayu itu. Nama Melayu itu adalah ciri utama yang memberinya satu kesatuan pelbagai cirinya bahkan juga sebutan ringkas bagi segala bangsa lain yang bertembung dengannya. Sejak zaman dulu lagi nama itu sudah digunakan sebagai pengenalan diri dan bangsa Melayu. Sekurang-kurangnya sejaknya abad ke 7 nama Melayu telah digunakan sebagai jati diri bangsa Melayu di zaman kerajaan Sriwijaya atau Jambi.

Dengan demikian bukan sahaja ‘Melayu’ sebagai satu jenis bangsa bahkan semua anggota masyarakatnya dalam erti yang terbatas dan juga Melayu dalam erti yang meluas sebagai ‘Rumpun Melayu’ telah dikenali dengan nama ini sehingga seluruh wilayah geo-politik di rantau ini terkenal di luar kawasannya sebagai ’Malaiyur’ (prasasti Tanjore) (Wikipedia: “Melayu Kingdom” ; “Tamil and Sanskrit Inscription in the Malay World”)  ‘the Malay Archipelago’ atau Gugusan Kepulauan Melayu. Penggunaan nama itu sudah pasti melekat juga kepada semua anggota masyarakat dan bangsa Melayu dan mereka mengenal diri kita sebagai ‘Orang Melayu’. Maka nama itu sudah berfungsi sebagai pengenalan yang mantap dan diiktiraf sebagai nama yang wajar digunakan oleh sebuah bangsa yang wujud di dunia dengan segala kesatuan ciri budaya dan bentuk pribadi yang telah muncul sejak berkurun lamanya.

Dari penelitian bahasa-bahasa oleh sarjana Eropah seperti Otto Dempwolff dan Wlhem Schmidt  kegunaan nama Melayu sebagai pengenalan bahasa-bahasa ‘Malayo-Polinesia’ sebagai sub-kelompok dari bahasa-bahasa “Austronesisch” (Austronesian)  dan masyarakat di rantau alam Melayu  telah meliputi kawasan yang amat luas termasuk seluruh kepulauan yang sekarang menjadi negara-negara Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan juga selatan Thailand dan selatan Vietnam, selatan Kampuchea serta kepulauan di sekitarnya. Perjalanan sejarah kolonial yang amat kejam kepada bangsa rumpun Melayu telah memecah-belahkan semua wilayah Melayu ini menjadi tanah jajahan pelbagai kuasa Eropah dan Asia: Sepanyol, Portugis, Belanda, Inggeris dan Siam,  hingga mereka tidak lagi dapat memahami kedudukan mereka sebagai sebuah bangsa yang besar, mempunyai tanah air yang luas dan kesatuan budaya yang masih berakar umbi pada bahasa dan ciri adat istiadat yang saling berkaitan. Dengan demikian bangsa itu sudah merasakan dirinya kecil, sempit serta terasing antara satu sama lain.

Hanya penelitian sejarah serantau dan ilmu bahasa perbandingan dan kini kajian DNA, yang wajar sahaja akan dapat menyatupadukan gagasan serta tanggapan kesatuan yang luas dan diajarkan kepada semua anak Melayu dan bangsa Malaysia untuk memahami peranan dan misi sejarah bangsa Melayu yang sekian lama telah berlaku. Dengan demikian amat perlu dikaji dan ditulis sejarah Melayu yang panjang dari sejak bertapaknya bangsa itu di rantau Alam Melayu ini pada zaman pra-sejarah, proto-sejarah dan zaman sejarah awal hingga kini. Sebuah sejarah nasional Melayu yang memakan tempuh masa kira-kira 5000 tahun perlu dikaji dan dirakam untuk memahami akan keutamaan bangsa Melayu itu di bumi dan tanah air yang kini telah didiami oleh pelbagai bangsa asli serta pendatang dan membentuk pula pelbagai negara yang berasingan serta berdaulat.

Keperluan ini agak mendesak kini kerana ternyata kefahaman terhadap sejarah yang panjang itu serta keberfungsian sejarah sebagai fakta pengiktirafan  akan status Melayu sebagai bumiputera di rantau ini sering kali dipertikaikan dan tidak difahami oleh  pelbagai golongan bangsa serta generasi muda Melayu. Malah terdapat usaha untuk ‘merebut’ kebumiputeraan itu Melayu oleh golongan luar yang melihat pelbagai pengaruh dari India sebagai ‘penaklukan’ dan ‘penempatan’ masyarakat India di rantau Alam Melayu. Kenapa hal ini perlu ialah kerana pengiktirafan diri dan oleh golongan lain terhadap status itu akan menerapkan suatu kenyataan fakta yang tegas dan ulung akan keutamaan  diri bangsa Melayu terhadap kewujudan mereka di rantau  ini dan juga menanam pengertian kasih dan taat yang mendalam terhadap wilayah yang kini menjadi negara dan para penghuninya sebgaai warga negara dalam negara bangsa yang moden.

Malangnya sejarah yang diajarkan kepada anak-anak sekolah adalah terlalu cetek dan ringkas sehingga kewujudan yang demikian lama tidak menjadi fahaman dan pengertian yang mendasari pelbagai tuntutan Melayu dalam perundangan Perlembagaan negara dan dalam pelbagai dasar awam yang sedang di laksanakan kini.

Ciri-ciri kebudayaan pelbagai bentuk terutama bahasa, seni tampak, seni persembahan dan sistem sosial termasuk kekeluargaan, politik dan pentadbiran tradisional dan juga himpunan ribuan hasil tulisan manuskrip Islami serta  karya seni sastera adalah pernyataan  pelbagai ciri budaya yang memberi petanda tegas dan bukti teguh akan keupayaan serta kreativiti bangsa Melayu menghuni dan berinteraksi dengan alam sekitarnya sehingga bukan sekadar menjadi penghuni pasif dalam alam itu bahkan mempengaruhi dan membangun peradaban atau tamadun dalam alam fizikalnya sehingga membinan pengenalan rantau ini sebagai ‘Melayu’.

Dari sejak awal tamadunnya di zaman ‘kepawangan’ (shamanism) kepada Hindu-Buddha dan kemudian Islam dan Barat,   bangsa Melayu itu telah merupakan kelompok manusia yang aktif membina dan menggunakan segala sumber alam sejak ribuan tahun hingga merubah wajah alam ini dan memberi nama kepadanya sebagai Alam Melayu. Maka keupayaan menguasai dan mempengaruhi bentuk muka bumi dan alam sekitar sehingga membina unit politik, pemerintahan dan kenegaraan sehingga ke tahap empayar,  di dalam kawasan geo-politik itu memberi bangsa Melayu suatu status atau kedudukan sebagai satu-satunya kelompok yang diiktiraf sebagai bangsa asal dan bumiputera di sini yang membina negara dan empayar, maka sekaligus peradaban atau tamadun rantau ini.

Walaupun pelbagai suku bangsa yang berkaitan dengan Melayu seperti ‘Mongolid Selatan’ ataupun golongan  ‘Orang Austronesia Barat’,  dan juga ‘Austro-Asiatik’ dikatakan telah pernah terdahulu menempatkan diri ke rantau Alam Melayu namun mereka tidak membina negara apalagi memberi pengenalan atau identity sebagai petanda keutamaan kuasa dan wibawa kelompok  itu.  Sebahagian golongan suku Melayu itu tetap merupakan golongan perantau yang berpindah-randah dan nomadis sehingga tidak wujud kesatuan negara dan wilayah, kekuasaan serta kewibawaan sebauah negara dan pemerintahan dan tidak memberi identity atau pengenalan kepada rantau wilayah  ini kecuali pelbagai penempatan terbatas di lembah sungai dan pesisiran pantai. Hanya suku bangsa Melayu dan Jawa dalam Rumpun Melayu  telah berupaya  melatakkan segala kewibawan dan kekuasaan ini dan membentuk kenegaraan dan memberi nama kepada rantau ini sebagi Melayu atau Jawa.

Fakta kuasa dan wibawa ke atas wilayah ini amat penting disedari kerana sejarah manusia sejak dahulu hingga kini hanya mengiktiraf dan memberilegitimacy terhadap kewibawaan bangsa ke atas wilayah itu sebagai faktor penentu kepada identity dan kewujudan negara dan bangsa. Amerika, Australia, New Zeland atau Filipina, Columbia, China, India dan sebagainya tidak wujud tanpa kewibawaan bangsa yang mencipta pemerintahan ke atasnya meskipun telah ada kuasa atau penduduk lain lama sebelum datang dan hadirnya bangsa yang dominan dan memerintah sebagai penguasa kenegaraan. Justeru demikian sejarah akan memainkan peranan dan fungsi yang amat utama dan penting dalam menjelaskan gagasan kenegaraan dan pemerintahan sebagai landasan legitimacy suatu tuntutan dalam negara dan bangsa masa kini.

Pelbagai ciri kebudayaan termasuk bahasa, kesenian dan sistem kemasyarakatan kekeluargaan, politik, ekonomi dan perundangan serta kepercayaan yang bertunjang kepada alam sekitarnya adalah penentu kepada kesatuan dan keutuhan bangsa itu sebagai sebuah kelompok manusia yang aktif dan berwibawa di wilayah kekuasaannya. Kebudayaan dan peradaban adalah petanda kepada ‘territorial imperatives’ atau tuntutan kewilayahan manusia ke atas suatu kawasan bumi yang digagaskan oleh bangsa Melayu sebagai ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Itulah yang difahami dan dimengerti oleh mereka sebagai ikatan emosi dan kuasa ke atas muka bumi yang bernama ‘tanah air’. Daya cipta yang melahir dan menghasilkan pelbagai bentuk dan ciri kebudayaan itu adalah petanda kepada kreativiti serta dinamika bangsa, dan wibawa kebudayaan serta peradabannya yang menyebabkan bangsa itu dapat membina bukan sekadar peradaban tinggi, agung dan besar bahkan juga memberi kesan dan pengaruh yang nyata dan jelas terhadap penggunaan serta kewujudan ciri muka bumi dan pelbagai binaan fizikal di mana mereka telah meneroka dan berkuasa. Inilah tuntutan Melayu yang sah dan legitimate terhadap negara ini sebagai hak bumiputera dalam sejarah, tradisi dan jati dirinya kini.

Kesahihan tuntutan bangsa Melayu itu dari  sudut geo-politik dunia menerima pengiktirafan semua  bangsa di dunia dan berlaku pada pengiktifaran kedaulatan negara di mata dunia melaui PBB. Malaysia sudah diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat (sovereign state) di persada antarabangsa atas nama Melayunya: ’Malaysia’ adalah “Kepulauan Melayu” seperti digagaskan asalnya oleh peneliti  di Perancis terhadap Alam Melayu:

“Following his 1826 expedition in Oceania, French navigator Jules Dumont d'Urville invented the terms MalaysiaMicronesia and Melanesia, distinguishing these Pacific cultures and island groups from the already existing term Polynesia. In 1831, he proposed these terms to The Société de Géographie. Dumont d'Urville described Malaysia as "an area commonly known as the East Indies". In 1850, the English ethnologist George Samuel Windsor Earl, writing in the Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, proposed naming the islands of Southeast Asia as Melayunesia or Indunesia, favouring the former. (D'Urville, Jules-Sébastien-César Dumont; Isabel Ollivier, Antoine de Biran, and Geoffrey Clark. "On the Islands of the Great Ocean". The Journal of Pacific History (Taylor & Francis, Ltd.) 38 (2). JSTOR 25169637.Earl, George S. W. (1850). "On The Leading Characteristics of the Papuan, Australian and Malay-Polynesian Nations". Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (JIAEA): 119) – Wikipedia: Malaysia)

Dalam fenomena yang serupa, tuntutan atas sebuah wilayah berstatus negara telah memakan ribuan nyawa dan badan manusia  serta korban yang amat dahsyat demi menuntut sebuah wilayah sebagai negara bagi bangsa yang  berdaulat. Bangsa Palestin  yang beribu tahun mendiami dan memberi identity kepada Palestin direbut hak mereka oleh penjajahan sehingga saat ini masih berjuang di mata semua penduduk dunia untuk sebuah negara. Tidak terkira berapa ramai lagi bangsa Palestin akan terkorban untuk menuntut wilayah atas nama dan sebagai jati diri mereka. Tidak kita tahu berapa lama akan berlalu untuk bangsa Gypsy mendapat sebuah negara bagi bangsa mereka untuk menghentikan kehidupan berkelana, merana  dan menderita penghinaan pelbagai bangsa Eropah terhadap mereka. Akan terus berlalu peperangan antara bangsa Kurdish dengan semua jirannya di Turki, Iran dan Iraq sebelum mereka dapat membina sebuah negara Kurdistan sebagai pengiktirafan akan jati diri mereka sebagai bangsa Kurdis di tanah air mereka. Orang Ireland akan terus bersengketa sesama mereka atas nama jatidiri Irish yang dipecahkan oleh penjajahah Brtitish ke atas Ireland Utara yang kini menjadi negara katholik Ireland dan Northern Ireland yang Anglikan.

Segala itu adalah fungsi dan peranan wibawa jati diri bangsa dalam menuntut  kedaulatan mereka ke atas muka bumi yang dapat dijadikan serta di namakan sebagai tanah-air dan negara berdaulat mereka sendiri. Para ilmuwan Islam dalam bidang siyyasah shariyyah menyebut ikatan manusia dengan wilayah politiknya  sebagai sebahagian dari iman: hubbul watan minal iman – kasihkan watan sebahagian iman. Atas landasan keimanan ini maka kita yang sudah bernegara wajib mempertahankannya sebagai negara Melayu, terutama kerana ia adalah asalnya Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian menjadi Malaysia.   Itulah sebahagian keimanan yang dituntut sebagai Muslim. Tidak ada negara lain di muka bumi yang bernama Melayu.

Pelbagai macam ciri kebudayaan dalam bentuk-bentuk kesenian, bahasa dan sistem kemasyarakatan adalah landasan keunggulan bangsa Melayu untuk menunjukkan kepada semua bangsa di dunia akan keupayaannya di mata dunia. Segala ciri itu adalah bukti yang nyata dan tegas  bahawa ia sudah cukup kreatif dan dinamik untuk membentuk wilayah serta  corak kehidupan yang terendiri dan bangga akan keupayaan itu. Ciri-ciri seni dan sistem kemasyarakatan mereka bukan sekadar untuk menjadi saluran kehidupan harian yang biasa bahkan adalah penunjuk dan petanda kepada kesanggupan dan keupayaan bangsa Melayu mencipta dan membina corak hidup dalam acuan dan kepandaian serta kebijakasanaan mereka  sendiri tanpa terlalu bergantung kepada kepandaian orang asing dan lain. Namun tidak ada suatu pun bangsa yang tulin dan jati dengan daya cipta sendiri sahaja tanpa pinjaman dan peneyerapan dari budaya asing. Maka bangsa Melayu telah sedia menyerap segala kebijakasanaan bangsa lain selaras dan sesuai dengan corak dan gaya hidup serta sistem nilai budaya mereka. Keupayaan menyerap pelbagai ciri asing dan menyesuaikannya dengan sistem kebudayaan dan kemasyarakatan sendiri lalu menjadikannya ‘Melayu’ atau ‘masuk Melayu’ adalah dinamika Melayu sepanjang zaman selama ribuan tahun dulu. Hingga kini, pelbagai ciri asing telah diserap namun jati diri dan nama Melayu tetap wujud, kekal dan unggul dalam alam persekitaran dan di buminya. Maka dalam hubungan dengan pelbagai bangsa di dunia itu dan dalam konteks peradaban dunia,  Melayu itu telah mengekalkan jati dirinya di rantau Melayu ini hingga menjadi tradisi dan sejarah tanpa mengubah dan jatuh ke tangan lain. Kekuatan dinamika kebudayaan Melayu untuk menerima dan menyerap pelbagai anasir luaran dan menjadikannya anasir dalaman ini harus disadari dan dipelihara demi survival bangsa Malaysia.

Survival bangsa Malaysia amat bergantung kepada nilai budaya Melayu. Sejarah lama dan moder  amat jelas memberi iktibar bahawa bangsa Barat adalah bangsa sentiasa bersedia untuk berperang dan menjajah bangsa lain seperti mana bangsa Babarian yang terdahulu dari mereka di Eropah. Kini mereka mewarisi nilai Barbarian itu atas nama peradaban bangsa moden. Mereka akan mengadakan sebab (pretext) sebagai memberi ancaman terhadap keselamatan mereka walaupun berada jauh bagi melakukan penyerangan, peperangan dan penaklukan. Di zaman moden yang dikatakan amat bertadaun serta beradab, naluri liar ‘imperialisme’ telah menakluk Iraq atau sebarang negara Asia Barat atau negara Islam tidak pernah mengancam Amerika atau Eropah namun semua negara mereka bersedia untuk menakluk negara Islam atas nama peradaban mereka itu.

Malaysia sebagai  pengenalan konkrit dan sebuah unit geo-politik di muka bumi akan kekal bersatu sebagai sebuah bangsa dan negara atas nilai budaya Melayu yang amat altruistik yang mementing keperluan orang lain. Altruisme adalah nilai asasi Melayu yang tidak ada tolok bandingnya. Sikap assertive dan ‘kurang ajar’ ataupun ‘kiasu’  asing yang kini disaran agar diterap ke dalam nilai Melayu dan Malaysia  akan membawa kepada padah pergaduhan dan kebersinggitan serta sengketa yang tidak berkeputusan antara warganegara dan antara negara seperti yang sering diprovokasi oleh negara jiran.  Justeru demikian, demi keutuhan bangsa dan negara maka nilai  ‘budi’ Melayu yang amat universal sebagai nilai peradaban tertinggi manusia yang beradab itu harus dipertahankan dan dimajukan sebagai nilai kebangsaan dalam negara dan dunia.

Sejak abad ke-11 Masihi, Islam sudah menjadi intisari jatidiri Melayu. Meskipun Islam menyerap secara beransur ke adalam bangsa Melayu, dengan erti penyerapannya berlaku dari penerimaan golongan atasan di istana ke dalam lapisan bawahan masyarakat, yang menyebabkannya lebih mudah terserap dan juga  dari dari kota ke desa pedalaman sehingga menyebabkan pelbagai anasir ‘animisme’ kekal  berfungsi di dalam masyarakat, namun Islam itu sudah menyatu beridentifikasi dengan seluruh kehidupan Melayu. Islam itu sudah menjadi jati diri Melayu dan merupakan penentu (determinant) kepada setiap yang bernama Melayu. Pelbagai anasir dalaman dan luaran yang telah lama terserap telah mendapat ‘saringan’ dan ketetapan Islami untuk menjadikannya Melayu, termasuk pelbagai anasir yang dilihat sebagai ‘khurafat’  atau ‘bid’ah’ dari saringan hukum Islam. Intisari nilai yang dulu diterima dari sejarah Hindu-Buddha kini telah tersaring di dalam tapisan Islam dengan kandungan spiritualisme atau kerohanian Islam meskipun pada permukaannya dan bentuk gagasan itu masih memperlihatkan warisan asalnya dari zaman pra-Islam.

Gagasan rukun Islam seperti ‘sembahyang’ atau ‘puasa’ dan hukum seperti ‘dosa’ dan ‘pahala’ ataupun alam semesta seperti ‘syurga’ dan ‘neraka’ adalah warisan dari zaman pra-Islam itu yang telah dibersihkan intisari kerohanian asalnya dan kini sepenuhnya difahami sebagai tulin Islami dengan ‘keesaan’ Tuhan sebagai asas ‘tauhid’ yang mendasari semua gagasan itu. Justeru demikian, Islam sebagai asas jatidiri Melayu tidak lagi menjadi persoalan meskipun masih terdapat keberfungsian pelbagai anasir masyarakat dan kebudayaan Melayu yang memperlihatkan bentuk pra-Islaminya. Anasir yang paling jauh dari kandungan Islam pun perlu mendapat kesahihannya dan kemujarabannya (efficacy) berasaskan kerohanian Islam, seperti ‘jampi’, ‘serapah’, ‘mantra’ yang dari sudut Islam adalah merupakan doa. Setiap ucapan yang bernama jampi atau serapah akan mengandungi ucapan asasi wibawa  memohon kuasa Allah, Rasul, Nabi dan pelbagai watak para sahabat Nabi untuk memastikan kemujarabannya serapah itu. Ini bermakna, Islam dan seluruh sifatnya adalah bahagian dari personaliti (sahsiah), sistem dan ciri kehidupan Melayu.

Hanya yang menjadi persoalan ialah betapa kognisi dan alam fikiran Melayu, daya ketahuannya, masih kekal Melayu melalui bahasa Melayu. Bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dan bahasa Islam menjadi kemahiran golongan ilmuwan dan sebahagian para pelajarnya yang kekal melangsungkan keilmuan Islam dalam masyarakat Melayu.  Justeru demikian, ilmu Islam yang terserap ke dalam alam fikiran Melayu melalui bahasa Melayu seringkali tidak mencapai kedalaman ilmu Islam dalam tradisi bahasa Arab meskipun telah berlaku terjemahan dan saduran pelbagai pemikiran klasik Islam ke dalam bahasa Melayu. Kelihatan berlaku semacam jurang pemahaman dan pengertian antara golongan terdidik dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab dari sudut pengertian Islami. Hasilnya ialah wujudnya lapisan pengertian yang berbeza antara lapisan masyarakat dan golongan ilmuwan Melayu terhadap Islam itu sebagai hukum, anasir kehidupan dan kepakaran. Namun dalam kehidupan moden yang telah dapat menerbitkan sekian banyak buku risalah Islami dalam bahasa Melayu maka jurangn pengertian bagi masyarakat awam kelihatan semakin merapat dan pembentukan masyarakat Islam adalah lebih substentif dan berisi.

Kesan dari perkembangan semasa, kedalaman pengertian Islam dalam masyarakat ialah kemunculan usaha dan saranan terkini untuk menegakkan nilai ‘wasatiyyah’ sebagai intisari nilai dalaman masyarakat Melayu dan diperluas pula ke seluruh dunia yang bertunjangkan Islam dan ajaran al-Quran, sebagai petanda kepada peranan dan keberfungsian jati diri Melayu dan kenegaraannya di mata dunia. Dengan demikian telah berlaku suatu sintisis baru pada jatidiri Melayu-Islam dipersada global. Melayu sebagai rupabangsa terawal dan nama etnik yang hanya berfungsi dalam lingkungan negara, telah bertukar kepada Islam dan kenegaraannya Malaysia sebagai identiti globalnya Melayu itu. Kita melihat suatu perkembangan linear, kaitan erat antara Melayu dan Islam, sebagai gagasan jati diri itu untuk berfungsi pada tahap global. Sebahagian dari fenomena ini pastilah kerana kemunculan Islam sebagai ‘nama’ penting dalam sejarah dan peradaban dunia dan kini mendapat label atau jolokan yang kontroversi: dari peradaban hingga kepada keganasan dan Malaysia memberikan rupa dan wajah ‘moden’ serta ‘moderate’ kepada tanggapan global itu.

Dalam konteks sedemikian maka amat wajar Malaysia sebagai sebuah negara Melayu memainkan peranan yang besar  dan bermakna untuk membentuk kembali  wajah dan esensi Islam pada tahap global kerana belum terdapat ‘depiction’ atau gambaran citra negatif terhadap wajah Melayu-Islam di mata dunia. Setakat ini wajah Islam-Melayu yang tersebut dan tergambar adalah amat positif, aktif dan proaktif dalam mencorakkan kehidupan global melalui pelbagai peranan di PBB serta serba macam tindakannya dari ekonomi, pendidikan, sosial mahupun politik dan ketenteraan. Dari sudut itu, Malaysia yang intisarinya adalah Melayu adalah citra terbaik dan terulung bagi Islam  pada tahap dunia dan global.

Perkembangan sedemikian mempunyai dua lapis makna dan fungsi yang amat positif serta mendalam bagi perkembangan peradaban Melayu di Malaysia dan pada tahjap global. Pertama, anjakan jati diri Melayu sebagai wakil dan wajah Islam di luar negara menegaskan sepenuhnya akan fungsi Islam sebagai intisari Melayu seluruhnya. Hal ini membawa kesan baik bagi identifikasi dalam negara: Malaysia sebagai negara Islam untuk meneguhkan pembinaan bangsa serta pelbagai institusi Islami. Kedua,  Melayu sebagai wajah Islam global dan antarabangsa memberi alternatif terhadap citra  Islam yang lebih benar dan wajar berasaskan intisari nilai Islami yang hakiki – salam, selamat, aman, penyerahan - di mata dunia. Penonjolan ‘wasatiyyah’ sebagai citra baru Islam berlandaskan sahsiah, peribadi atau personality Melayu adalah gerakan positif membentuk kognisi dan pengertian baru masyarakat dunia terhadap Islam. Lebih utama lagi ialah penonjolan bahawa konsep wasatiyyah itu mengandungi bukan sekadar gagasan ‘moderate’ atau ‘pertengahan’ bahkan ‘keadilan’ dan ‘perimbangan’ sebagai hakikat  dan esensi seluruh gagasan itu (al-Baqarah: 143).

Gerakan Melayu sebagai wajah Islam pada tahap global itu amat wajar dan wajib dilakukan kerana ia dapat membentuk kembali atau rekonstruksi  wajah yang telah lama dihitamkan atau kini dikatakan ‘demonised’ sejak zaman  Perang Salib yang mengejutkan tamadun Barat akan keliaran dan ‘barbarism’ mereka. Islam merupakan spiritualisme subersif bagi mereka yang mempersoal serta  memberi tafsiran baru dan lain dari gagasan iman mereka berasaskan ‘trinity’ ataupun ‘original sin’. Sejak itu, Islam adalah musuh dan mesti dihancurkan. Hingga kini sikap bermusuh terhadap Islam kekal sebagai gerakan Barat, yang diperteguh dengan tindakan ganas segolongan masyarakat Islam yang melampaui batas hukum Islam sendiri sehingga membentuk citra atau imej ‘Islamophobia’ global dan ‘eurobia’ di Eropah. Maka wajah dan sahsiah Melayu, yang esensinya terbentuk dalam gagasan-gagasan  Islami  ‘berbudi bahasa’, ‘berbudi pekerti’ dan ‘berbudi bicara’ dengan kefahaman ‘bahasa’  sebagai esensi yang bukan sahaja wajah itu baik bahkan berilmu serta bijaksana, adalah wajah yang amat positif pada tahap global.

Wajah ‘aman’ dan ‘selamat’ dalam bentuk ‘budi’ itu harus kembali didinamikkan dengan suntikan dinamika ‘jihad’ yang benar dan hakiki. Pada tahap ini, jihad sudah menjadi esensi terburuk yang melahirkan ‘citra ganas’ bagi wajah Islam. Padahal anasir keganasan  yang sama tetap berlaku dalam semua kuasa dan bangsa terutama BaratSemua kuasa besar kini memperteguh citra ‘perkasa’ mereka terutama Amerikan untuk mengingatkan semua bangsa lain akan ‘awe and shock’ layanan mereka terhadap sebarang usikan terhadap dari luar.  Citra ganas yang membunuh ratusan ribu manusai asing itu adalah ‘kemanusiaan’ dan ‘keamanan’ bagi mereka. Jihad dan segala bentuk penentangan terhadap keganasan mereka adalah ‘terrorism’ yang mestiperangi. Justerun itu, jihad sebagai dinamika membela, memelihara dan mengekalkan ‘salam’, ‘wasatiyyah’ serta Islam melalui ‘bela-diri’ dan pertahanan yang sentiasa ‘siap-siaga’ dari serangan manusia lain terhadap masyarakat Islam wajar ditanam ke dalam sahsiah dann personality Islam-Melayu sebagai pancaran sahsiah dinamik untuk memastikan tidak berlaku penindasan dan sekaligus menghancur dan menghapuskan umat Islam di dunia.

Justeru demikian, sintisis Melayu-Islam adalah merupakan sinergi  citra dan esensi nilai yang amat positif untuk menjadi landasan baru keberfungsian jatidiri Melayu-Islam itu bahkan memberi sumbangan kepada citra Islam sejagat. Inilah misi jati diri Melayu-Islam pada zaman ini.
Dinamika jihad  dalam bentuk yang benar dan betul dapat mengelakkan dari berlakunya sikap dan tindakan negatif yang telah lama tertanam di dalam pribadi Melayu-Islam di Alam Melayu. Lanjutan dari nilai budi dari warisan lampau Buddha itu, telah muncul pelbagai gagasan terbitannya dalam pelbagai bentuk terutama ‘tolak-ansur’ atau altruisme itu mempunyai akhiran atau terminal logis, seringkali menjadi mkalah atau menyerah. Dalam pada itu berlaku juga personality atau pribadi  yang bertegas dan berkeras setelah terlalu banyak bertolak ansur, terlampau  mengakomodasi kepentingan dan keperluan orang lain. Justeru gagasan ‘beri betis hendakkan peha’ muncul, sebagai peringatan dan membina sikap menentang permintaan yang terlampau melebih dari yang patut, yang tidak wajar atau yang tidak adil. Pada tahap itu, nilai asasi keadilan, berpatutan atau padan dengan keperluan akan beroperasi untuk mengimbangi altruisme Melayu. Perubahan nilai dan norma dari mengalah serta menyerah kepada menentang dan menuntut keadilan atau keberpanan layanan dan sikap akan menyebabkan muncul sikap yang lebih keras dan nekad seperti ‘menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang mandi biar basah’, ‘alang-alang berdakwat biar hitam’  atau lebih keras dan nekad ialah niat ‘amuk’.

Jika terlampau ditolak dan diansur hingga terdesak ke sudut  tembok dan tidak dapat lagi jalan keluar maka yang terakhir ialah pengorbanan diri yang tidak mengalah: mengamuk. Ibarat kata, ‘rajanya mati, negerinya alah’. Rakyat Melayu sudah mempertontonkan kesetiaan terhadap nilai budi dan amuk itu dalam jiwa keperwiraan Melayu di mata dunia dengan jatidirinya. Keperwiraan itulah yang harus menjadi panduan dalam menghadapi desakan dan cabaran dunia masakini. Sementelahan pula Melayu itu adalah Muslim maka pengorbanan dijalan Tuhannya telah dijanjikan pahala tertinggi, dan syorga jannah. Keperwiraan  itu adalah ‘jihad’ yang benar yakni perjuangan di landasan yang diredhai membela yang tertindas dan terpinggir serta terdesak. Inilah  intisari kemelayuan di hati  Melayu-Islam  yang kini menjadi wajah wasatiyyah  untuk tatapan dan keberfungsian  di mata dunia yang  sedang bertemu serta berhadapan dengannya dalam  kalangan warga Malaysia dan warga dunia di PBB.

BLOG TERPILIH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...