AKTIVITI TERKINI


Lokasi Pelawat GAMB

Melaka Darul Azim

Melaka Darul Azim

Thursday, April 28, 2011

PROFESION KEGURUAN PILIHAN TERAKHIR? : SUATU TINJAUAN

(Sekadar Hiasan)

Ibrahim bin Ahmad
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia


Abstrak
Dunia pendidikan sering menjadi isu penting tidak kira samada dari segi pendidiknya, kaedah yang digunakan, ganjaran dan kenaikan pangkat serta isu-isu semasa yang tidak pernah sunyi dari membabitkan diri pendidik tersebut. Bidang perguruan sering dianggap sebagai profesion kelas pertengahan jauh ditinggalkan oleh bidang-bidang professional yang lain seperti kedoktoran, kejuruteraan mahupun bidang perakuanan. Masyarakat menganggap bidang ini adalah pilihan terakhir sekiranya tiada kerjaya profesional lain yang sesuai atau tidak mendapat kerja. Masyarakat menganggap untuk menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang sukar. Hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada pelajar. Itu sahaja. Disamping membuat sedikit kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan mengisi borang.

Apakah benar bidang perguruan ini merupakan pilihan terakhir dan adakah menjadi guru senang seperti yang disangka. Kertas konsep ini membincangkan tentang cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dalam era digital serta persoalan yang ditimbulkan iaitu adakah profesion ini merupakan pilihan terakhir.

Pengenalan

Perkataan keguruan diambil dari perkataan dasarnya iaitu guru. Mengikut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh manakala perkataan keguruan pula berkaitan dengan guru, berkaitan dengan peranan (tugas dan kelayakan) sebagai guru. Pada asasnya tugas utama guru di sekolah ialah untuk mengajar dan mendidik para pelajar agar menjadi insane yang syumul selain daripada memberikan ilmu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bidang keguruan sering dianggap sebagai satu kerjaya pilihan terakhir bagi sesetengah orang. Ada di antara graduan yang ditanya mengenai pemilihan kerjaya mereka, ramai yang memberikan jawapan yang hampir senada iaitu bidang keguruan adalah pilihan terakhir mereka.

Sebenarnya tanggungjawab mendidik anak bangsa bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Bila kita menandatangani perjanjian sebagai sebagai seorang pendidik, jatuh bangun sesuatu bangsa terletak di atas bahu kita.    

Tanggungjawab yang mengatakan guru adalah “lilin yang membakar diri” masih tebal bukan sahaja dalam masyarakat Malaysia tetapi di negara-negara lain. Peretomede (1991) menyatakan kajiannya ke atas remaja Nigeria menunjukkan pendangan yang sangat negetif terhadap profesion keguruan di man lebih 70% responden menyatakan tidak mahu memilih guru sebagai profesion mereka. Pandangan ini lebih ketara bagi responden lelaki di mana 95% dari mereka tidak mahu menjadi guru.                                    


Sorotan Keguruan Masa laluan kguru sebagai profesion mereka. Pandangan ini lebih ketara bagi responden lelaki di mana 95% dari mSorotan Profesion Perguruan                     
Pada awal-awal tahun 60an, guru dianggap insan yang terpilih yang didatangkan untuk membawa ilmu dan kemajuan kepada masyarakat setempat. Sumbangan guru sangat besar dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Pada masa ini, kaum guru bukan sahaja memberikan ilmu kepada masyarakat malah menjadi panduan dan rujukan.

Kaum guru mengajar masyarakat Melayu berorganisasi dalam bidang social dan arena politik. Guru-guru sekolah Melayu juga meniup, menanam dan menyemarakkan semangat nasionalisme. Melalui tulisan yang banyak diterbitkan dalam majalah-majalah yang terhad bilangannya, suara guru dibaca sehingga menimbulkan kesedaram tentang untung nasib dan ‘survival’ bangsanya yang ketinggalan dalam bidang ekonomi dan politk, tentang kesedaran maha pentingnya pendidikan tinggi sebagai satu jaminan masa depan yang lebih cerah.

Kini profesion perguruan dianggap sebagai profesion peringkat pertengahan di bawah profesion professional yang lain seperti doktor, jurutera, peguam dan lain-lain.

Ramai yang menganggap tanpa latihan asas pun mereka masih boleh menjadi guru sandaran/ sementara dan ada kalanya lebih baik dari guru yang sedia ada.

Kini cabaran menjadi seorang guru tidak seperti yang dilihat dengan mata kasar. Cabaran dalam Wawasan 2020 adalah antara yang perlu ditangani oleh para pendidik untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing. Ini kerana masyarakat kini adalah masyarakat

Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama, iaitu untuk mengajar, mendidik dan merubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan yang tidak mengenal huruf, tidak tahu memngira dan tidak boleh membaca kepada celif huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berjaya.(Shuib & Johari, 2001)

Tetapi persoalannya kenapakah pandangan masyarakat terhadap guru dan profesionnya telah berubah. Dulu masyarakat memandang mulia kepada guru, sekarang profesion keguruan seakan terpinggir dan sudah berada dalam kategori terakhir pemilihan kerja. Adakalanya juga seringkali para guru menjadi sasaran jika berlaku kepincangan dalam masyarakat.

Dapatan yang dibuat oleh Shuib dan Johari (2001) melalu pemerhatian, temubual dan pengalaman, mereka dapati bahawa ada beberapa sebab mengapa bidang keguruan ini kurang mendapat tempat pada pandangan masyarakat dan remaja yang memilih kerjaya

  • Profesion keguruan adalah profesion yang statik, kurang masa dan peluang terlalu kecil. Bakhtiar Mansor (1993) mengambil beberapa stastistik mengenai perbandingan peluang kenaikan pangkat di kalangan beberapa profesion utama antaranya

Pendidikan   3.5%

Jurutera Awam (Kerja Raya)   27.1%

Pegawai Perubatan  15.1%

Polis  18.6%

Pegawai Pertanian   13.4%

Pegawai Tadbir Dan Diplomatik  38.4%

  • Berhadapan dengan berbagai karenah pelajar yang begitu ramai yang datang dari pelbagai keturunan, adat resam, sosio ekonomi, peringkat umur, masalah disiplin yang perlu ditangani. Malah guru juga perlu melayani karenah ibu bapa, masyarakat, pihak atasan, kerajaan, pertubuhan dan masalah peribadi.

  • Pembelaan pula kurang dan masih tidak memuaskan hati guru sehingga ada cadangan meletakkan Pegawai Tadbir dan diplomatik (PTD) di bahagian pengurusan samada di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah ataupun di Jabatan Pendidikan Negeri.

  • Wujud profesion lain yang lebih baik hasil dari sistem pendidikan dan kerja keras guru yang mengajar.

  • Beban kerja dan kurang insentif yang diterima oleh para guru. Masyarakat melihat kerja guru mudah, masa kerja yang pendek dan banyak cuti. Guru pula merasa beban kerja terlalu banyak sehingga membawa ke bilik tidur. Kerja lebih masanya (over-time) tidak dihargai. Pandangan dan persepsi yang berbeza akan menyebabkan segelintir guru kecewa.



Strategi  Kerajaan Untuk Memartabatkan Profesion Perguruan

Yazid Abdul Manap (2001) menggariskan beberapa  strategi yang telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha mereka memartabatkan profesion di samping menjadikan profesion ini sebagai pilihan utama bagi bekas lulusan graduan. Anatar usaha yang telah dilakukan oleh KPM ialah

a.      Meningkatkan Tahap Profesionalime

Wan Zahid (1996) menyarankan bahawa untuk membentuk persekitaran kerja yang baik, guru perlulah meningkatkan pengetahuan dan memperbaiki kemahiran mereka. Dengan kepakaran dan kelayakan yang tinggi guru-guru akan dilihat sebagai lebih berkemampuan dalam memberi sumbangan terhadap pembentukan persekitaran yang sesuai dan kondusif.

  1. Program Diploma Perguruan Khas
Diperkenal pada tahun 1996 bertujuan untuk menjamin kualiti di peringkat menengah dengan menyediakan guru siswazah di semua sekolah menengah menjelang tahun 2005.

  1. Program Diploma Perguruan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia telah  menggantikan Sijil Perguruan Asas (SPA) kepada Diploma Perguruan Malaysia (DPM) demi untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara kita selaras dengan cabaran dalam dunia pendidikan hari ini.

  1. Program Pensiswazahan Guru
Kursus-kursus seperti Program Khas Pensisiwazahan Guru (PKPG) yang dimulakan pada Jun 1999 telah menambahkan bilangan guru siswazah di samping kursus-kursus yang diadakan secara usahasama dengan Universiti Terbuka Malaysia (Open University) untuk guru-guru bukan siswazah serta Institut Aminuddin Baki untuk  guru besar.

  1. Program Berkembar IAB Dengan Pihak Universiti
Bidang pendidikan kini sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman. Banyak  dasar yang dibuat dahulu ada yang tidak sesuai lagi pada alaf ini. Oleh yang demikian dasar pendidikan juga berubah walaupun matlamat utama tidak berubah iaitu berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan perubahan tersebut, Kementerian Pendiidikan Malaysia sentiasa berusaha memastikan mutu pendidikan akan terus dikawal dan sentiasa berada pada paras yang maksimum telah menjalankan beberapa program khas untuk memastikan ianya terus berkembang.

Latihan pendidikan yang dijalankan dengan usaha sama Institut Aminuddin baki dalam bidang pengurusan dan kempimpinan pendidikan harus dipuji. Antara latihan dan progam yang disediakan ialah program kembar sarjana antara Institut Aminuddin Baki dengan universiti-universiti di Britian, Amerika Syarikat dan Australia.


  1. Skim Latihan Pegawai
Skim yang dikelolakan oleh Bahagian Biasiswa untuk membolehkan pegawai-pegawai pendidikan mendapat kelayakan tambahan dengan mengikuti program kedoktoran dan sarjana dengan menawarkan biasiswa penuh dan cuti belajar bergaji penuh.


  1. Program Pensarjanaan Pensyarah Maktab Perguruan
Di samping meletakkan guru-guru di tahap yang tinggi dengan memberikan kursus dan latihan yang sesuai, pensyarah-pensyarah maktab juga diberikan peluang meng’upgrade’kan diri mereka sesuai dengan cabaran dalam dunia pendidikan masa kini.


b.      Ganjaran & Kenaikan Pangkat
Selain dari meningkatkan diri dengan penambahbaikkan dalam bidang ilmu, para pendidik juga ditawarkan dengan ganjaran-ganjaran dan kenaikan pangkat bagi mereka yang benar-benar layak.

1. Pengetua Cemerlang
Jawatan Pengetua Cemerlang telah diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan dengan tujuan untuk melantik pengetua-pengetua cemerlang yang akan membawa kecemerlangan kepada sekolah tempat mereka ditugaskan. Program ini adalah merupakan program pemilihan Pengetua DG2(DG48) ke DG1(DG52)

2. Guru Cemerlang
Untuk mengiktiraf pengorbanan guru-guru yang benar-benar komited terhadap tugas yang diberikan, ganjaran diberikan kepada mereka dengan mengiktrif mereka sebagai guru cemerlang. Konsep guru cemerlan yang diperkenalkan oleh KPM ialah sebagai guru yang istimewa, dedekasi dan bermotivasi tinggi serta mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang tugas mereka. Tanpa menunggu untuk kenaikan pangkat secara “Time-Based”, mereka boleh dinaikkan keg red yang lebih tinggi iaitu dari DGA6 (DGA29) kepada DGA5(DGA32)

3. Jawatan Naik Pangkat
Guru-guru yang tidak berpeluang menjawat jawatan yang lebih kanan dalam bidang pentadbiran, guru-guru ini berpeluang menikmati kenaikan pangkat secara “Time-Based”. Antara kelayakannya ialah dengan berkhidmat sekurang-kurangnya 12 tahun di gred DG3(DG41) atau DGA5(DGA32) dan berada di mata tanggan maksima.

4. Skim Gred Diploma
Skim ini hanya melibatkan guru-guru siswazah DG6.


c. Menubuhkan Universiti Perguruan
      Sultan Idris Training College for Malay Teachers (SITC) telah ditukarkan namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1959 untuk memartabkan bidang keguruan sehingga dinaikkan taraf kepada Institut Perguruan Sultan Idris pada tahun 1987. Pada 1 Mei 1997, sekali lagi premis ini diberikan pengiktirafan dengan menjadikan ianya sebuah universiti dengan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

d. Program Kelayakan Professional Kepengetuaan Kebangsaan
Kementerian Pendidikan telah menetapkan bahawa pemilihan semua pengetua dan guru besar sekolah pada masa akan datang adalah berdasarkan pemilihan ke atas calon-calon yang didapati berpotensi dan benar-benar layak sahaja. Bagi memenuhi keperluan ini, mulai tahun 1999, KPM telah mengadakan Kursus Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah Berkesan yang dihadiri oleh bakal pengetua dan guru besar sebelum mereka dilantik je jawatan berkenaan.

Semua kursus-kursus ini dijalankan dengan usaha sama  KPM dan IAB.


e. Menubuhkan Yayasan Guru Malaysia Berhad
Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) diperbadankan di bawah akta Syarikat 1965, pada Mac 1994 sebagai sebuah syarikat Berhad. Tujuan utama penubuhan YGMB adalah untuk menyatukan dan mengembelang seluruh warga pendidik dan anggota perkhidmatan pendidikan Malaysia ke dalam satu organisasi yang berasaskan ekonomi dan kebajian yang akan menjadi wahana utama. Objektif utama penubuhan  YGMB ialah untuk memajukan kebajikan pendidik khasnya ahliu-ahli Yayasan melalui bencana dan sebagainya di samping memajukan ekonomi  warga pendidik melalui aktiviti perniagaan terutama dalam bidang kewangan, pengusan dana, pembinaan dan pembangunan hartanah, pelancongan dan perhotelan, pembekalan dan sebagainya.


f. Kesatuan Guru
Penyertaan guru dalam kesatuan-kesatuan guru yang berdaftar diyakini dapat menguat dan mengukuhkan  penyatuan perjuangan guru secara permuafakataan selaras dengahn kehendak profesion perguruan. Inilah resolusi pertama Persidangan Permuafakatan Pendidikan Kesatuan dan Persatuan Guru Malaysia (PPKPGM) yang menyeru agar setiap warga pendidik menyertai salah satu kesatuan guru yang terdapat di negara ini. (Yazid, 2001)


g. Hari Guru
16 Mei setiap tahun diiktiraf sebagai Hari Guru peringkat kebangsaan untuk menghargai sumbangan dan jasa para guru. Pada hari tersebut, tokoh-tokoh guru diisytiharkan sebagai memberi pengiktirafan penuh kepada sumbangan dan jasa mereka. Walaupun yang diberikan gelaran tersebut tidaklah ramai tetapi ingatan kerajaan dan masayarakat Negara ini di atas pengorbanan para pendidik dapat memberikan penjelasan yang besar dalam dunia pendidikan.


Cadangan
Apa pun yang dilhat oleh masyarakat hari ini mengenai apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu profesion keguruan di negara kita, namun apa yang berlaku, masyarakat tetap meletakkan anggapan bahawa profesion ini merupakan pilihan yang terakhir. Namun di sini diperturunkan beberapa cadangan agar dapat diperbaiki tanggapan tersebut.


i.   Perubahan Polisi Sistem Pendidikan
Yazid Abd Manap (2001) menyatakan dalam kertas kerjanya, polisi sistem pendidikan yang ada tidak menggalakkan usaha guru memperkembangkan kerjaya mereka. Guru-guru yang memiliki ijazah sarjana muda melalui cara “Pendidikan Jarak Jauh” kurang mendapat pengiktirafan dari pihak kementerian. Ramai guru yang mengikuti program jenis ini kecewa dengan kenyataan pihak kementerian yang tidak akan menjanjikan apa-apa jawatan yang lebih tinggi walaupun guru menamatkan pengajiannya dengan cemerlang. Ada pula guru yang sanggup berhenti di tengah jalan kerana tiada ada apa-apa peluang yang dijanjikan sedangkan pihak kerajaan menggalakkan guru-guru melanjutkan pelajaran untuk memperbaiki profesion keguruan mereka.

Begitu juga halnya dengan guru-guru yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana, tiada apa-apa peruntukan yang diberikan samada hadiah pergerakan gaji (HPG) seperti yang diberikan kepada guru lulusan SPM yang mengambil STPM suatu ketika dulu.




ii.  Status Ekonomi  Guru-Guru
Menurut Green Berg (1990), factor penyebab kepuasan bekerja yang paling utama melibatkan polisi dan upah, gaji, ganjaran dalam perkhidmatan. Faktor ini penting kerana melalui gaji, upah dan ganjaran kepada pekerja dapat menyarakan kehidupan mereka. Maka kepuasan bekerja tidak dapat dikecapi apabila system gaji yang diterima tidak setimpal dengan apa yang dilakukannya.

Kegagalan menarik calon-calon yang cemerlang ke dalam bidang keguruan ini disebabkan oleh faktor gaji yang rendah dibandingkan dengan profesion lain.


iii.   Pemilihan Calon Guru Yang Benar-Benar Layak
Faktor keupayaan menyesuaikan  diri dengan persekitaran kerja dalam bentuk kesesuaian jenis peronaliiti seseorang dengan persekitaran itu. Apabila jenis personality tersebut tidak sepadan dengan persekitarannya, maka berlakulah punca kepada sikap tidak betminat terhadap kerja mahupun perkembangannya. (Holland, 1973)

Sekiranya profesion ini adalah pilihan yang terakhir bagi guru, minat utama terhadap profesion ini sebenarnya hanya sedikit sahaja dan akibatnya selepas 2 atau 3 tahun menjadi guru, kebosanan terhadap tugas akan berlaku. Kajian yang dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian ‘Burn-out’  terhadap guru jelas menunjukkan faktor bahawa guru yang seringkali menghadapi masalah ini adalah guru yang kurang berminat sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi. ( Wan Mohd Zahid Nordin ).


iv.   Mengurangkan Penempatan Guru Sandaran Tidak Terlatih
Kekosongan jawatan guru samada di sekolah rendah mahu pun menengah biasanya diisi oleh guru sandaran yang tidak mendapat latihan secara formal samada di maktab perguruan atau pun universiti. Kita tidak dapat nafikan mengenai keperluan mengisi kekosongan tersebut atas dasar pendidikan pelajar di sekolah. Tetapi pandangan masyarakat terhadap  profesion keguruan ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila ada sesetangah pihak yang menganggap tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat tertentu, mereka masih boleh menjadi seorang guru.

Sepatutnya, Bahagian Dasar dan Penyelidikan Pendidikan mengambil langkah yang proaktif terhadap masalah yang dihadapi. Lambakan guru-guru sandaran tidak terlatih di sekolah dengan sendirinya akan merendahkan martabat profesion keguruan tersebut.

Sepatutnya kekosongan jawatan guru di sekolah menengah diisi dengan kehadiran guru-guru yang telah menamatkan pengajian secara separuh masa atau PJJ yang terlalu ramai di sekolah rendah, manakala di peringkat sekolah rendah ianya diisi dengan guru-guru lepasan diploma dari maktab perguruan.


v.    Penyertaan Guru Dalam Kesatuan
Mengikut kajian yang dijalankan oleh kesatuan guru ( samada KPPK atau KGMMB ), hamper 60% guru-guru di Malaysia tidak mendaftar sebagai ahli di mana-mana kesatuan guru pun. Ini menunjukkan bahawa guru sendiri tidak berminat terhadap kesatuan yang dibentuk oleh guru untuk kebajikan guru-guru itu sendiri.

Segala masalah yang bersabit dengan bidang keguruan samada dari segi perjawatan, ganjaran mahupun kebajikan sepatutnya disalurkan melalui kesatuan dan akhirnya akan disampaikan kepada pihak kementerian supaya diambil tindakan. Sekiranya kesatuan guru senditi tidak mendapat sokongan padu dari kalangan guru sendiri, bagaimanakah nasib guru hendak terbela dan apakah martabatnya profesion keguruan tersebut.


Kesimpulan
Profesion keguruan adalah merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat.

Pemilihan profesion ini sebagai bidang terakhir untuk diceburi adalah satu tanggapan yang salah. Masayarakt harus sedar cabaran dan bebanan tugas yang dihadapi oleh golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini.

Usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan profesion ini perlu dipandang tinggi. Tanpa guru siapalah kita hari.


Rujukan

1.                          Yazid Abdul Manap (2001), “Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama”, dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 15 – 33.

2.                            Shuib Dirwan & Johari Seman (2001), “Profesyen Keguruan Di Malaysia, Sejauh Manakah Martabatnya Kini?”, dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm  40 – 48.

3.                            Wan Mohd Zahid Noordin, bekas KPM, Sedutan Ucapan Sempena Majlsi Perasmian Seminar Pendidikan anjuran JPN Johor di UTM pada 23 Mac 1998.

4.                            Bakhtiar Mansor (1993), “Perguruan : Satu Perspektif  Perkembangan Kerjaya” dalam Jurnal Pengurusan Pendidikan, Institut Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

5.                            Kamus Dewan Edisi Baru, (1989), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

BLOG TERPILIH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...