GENAP 41 tahun, pada tarikh hari ini -13 Mei 1969 tercatat sejarah hitam hubungan kaum negara ini. Peristiwa perbalahan antara kaum itu berlaku selepas 12 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.
Akibat perasaan sombong, bongkak dengan kuasa serta penghinaan kepada kaum lain, sektor keselamatan, ekonomi dan kestabilan politik negara menjadi kucar-kacir.
Kalau diceritakan kepada generasi muda sekarang, barangkali peristiwa hitam itu tidak memberi apa-apa 'sentuhan perasaan'. Ia sekadar satu peristiwa sejarah semata-mata.
Tetapi elok kita peringatkan pemimpin kaum dan generasi muda sekarang tentang iktibar yang wajar diambil sebagai panduan dalam menjalani kehidupan di negara majmuk ini.
Mungkin elok difikirkan pendekatan yang sesuai supaya generasi muda negara ini didedahkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei itu supaya dapat dijadikan iktibar dalam usaha kita memulihara perpaduan kaum.
Tujuannya bukan hendak membangkitkan semangat perkauman tetapi elok diadakan supaya dapat mengelak peristiwa yang sama berulang.
Semua rakyat majmuk negara ini harus sedar, tidak ada manfaat dan keuntungan kepada mana-mana kaum jika tragedi seumpama itu tercetus di negara ini.
Tidak ada makna kehidupan ini jika kita hendak ke luar rumah pun tidak selamat. Untuk mendapatkan bekalan makanan pun susah. Aktiviti harian tergugat.
Yang bermain di dalam minda ketika itu ialah keselamatan diri dan keluarga. Dalam keadaan tegang begini, tahap keyakinan antara kaum amat rendah. Tidak siapa boleh dipercayai.
Dendam dan marah kepada kaum lain berada pada tahap puncak.
Itulah yang terjadi pada peristiwa 13 Mei itu. Ia telah menjadi parut luka yang begitu lama untuk dirawat dan dipulihkan.
Kita bangkitkan nolstagia pedih ini kerana tidak mahu ia terjadi lagi. Tetapi cubaan untuk mencetuskan perbalahan antara kaum ini nampaknya boleh terjadi semula tanpa kita sedari.
Banyak petunjuk kebelakangan ini cukup membimbangkan. Daripada pandangan dan komen-komen yang menghina kaum secara berleluasa dalam laman web dan blog sehinggalah kepada keghairahan mencabar kontrak sosial, bahkan kedaulatan raja.
Apakah kita mahu mengambil mudah seolah-olah tidak akan berulangnya pergaduhan kaum?
Sebab itu bibit-bibit pergolakan yang menjurus mengapi-api dan menggasak perasaan kaum tertentu perlu dipantau oleh kerajaan dan pihak berkuasa.
Rakyat harus menghargai keharmonian yang ada ini sebelum semuanya dirampas dan lenyap begitu sahaja.
Peristiwa hitam ini memang patut dijadikan iktibar supaya rakyat majmuk berbilang kaum dan pegangan agama dapat bergerak lebih dekat kepada perpaduan antara kaum dan integrasi nasional.
Kini menjadi tanggungjawab semua kaum, baik yang tua dan muda untuk mempertahankan kemakmuran dan perkukuhkan perpaduan negara ini.
Jadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai satu pengajaran untuk kita terus maju. Pendek kata, ambil yang jernih dan buang yang keruh.
No comments:
Post a Comment